TPM Bayangkan Jamal Tanding Parlimen Sg Besar PRU14


SUNGAI BESAR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi bayangan supaya Ahli Parlimen Sungai Besar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi melepaskan satu jawatan yang disandangnya dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Timbalan Presiden parti, berkata salah satu jawatan itu perlu diberikan kepada calon lain dalam PRU akan datang.

Beliau secara berseloroh, berkata satu jawatan itu biasanya diberikan kepada Ketua Bahagian yang kini disandang Datuk Jamal Md Yunos.

"Kepada YB (Yang Berhormat) Budiman ambil satu (jawatan) sahaja, mungkin beri kepada Jamal. Saya kenal Jamal ini, ramai yang cop dia anti bukan Melayu, tetapi sebenarnya beliau tidak begitu.

"Beliau selalu tolong orang Cina dan kaum lain. Malah, beliau adalah individu yang paling bersungguh-sungguh dalam usaha untuk membebaskan tiga orang nelayan Cina yang ditahan pihak berkuasa Indonesia," katanya.

Beliau berucap merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Sungai Besar di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar; Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim; Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunos dan Budiman.

Timbalan Perdana Menteri turut mengingatkan pemimpin Barisan Nasional (BN) untuk berlaku adil dengan semua kaum, kerana semangat perpaduan itu menjadi teras kejayaan parti membangunkan negara ini.

"Kepada BN dan UMNO Selangor, saya sering kali mengulangi keyakinan bahawa kita mampu tawan semula negeri ini. Percayalah, masih ada sinar di hujung terowong dan semoga perjuangan kita mendapat rahmat daripada Allah," katanya. -BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA