Tolak Rayuan Hambali Demi Keselamatan Serantau


JOHOR BAHRU: Malaysia berharap Amerika Syarikat tidak akan mempertimbangkan rayuan pembebasan bekas pemimpin Al-Qaeda, Riduan Isamuddin atau dikenali sebagai Hambali kerana ia boleh menjadi pemangkin kebangkitan kumpulan pengganas di rantau ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed, berkata profil keganasan yang membabitkan Hambali dalam siri serangan yang mengorbankan banyak nyawa adalah sangat serius dan membahayakan keselamatan bukan sahaja Malaysia malah mana-mana negara yang disasarkan.

"Kita harap Lembaga Penjara AS tidak akan mempertimbangkan rayuan Hambali untuk dibebaskan kerana dia seorang terpelajar dan pemimpin kepada kumpulan pengganas. Jika dia dibenarkan kembali semula ke rantau ini, ia akan menjadi pemangkin kepada kumpulan pengganas lain.

"Pengganas sekarang tiada pemimpin yang 'sofiskated' dan berpengetahuan dari segi persenjataan dan kalau Hambali dibenar balik, dia ada kepakaran itu untuk jadi pemimpin pengganas," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Kompleks Kementerian Dalam Negeri di Setia Tropika, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Nur Jazlan mengingatkan penjawat awam supaya menjaga integriti dan tidak bertindak di luar etika bagi mengelakkan keributan dalam media sosial sehingga menjejaskan imej serta kepercayaan terhadap kerajaan.

Katanya, mempertahankan integriti turut bermakna menjaga keselamatan negara dan kegagalan berbuat demikian akan mendedahkan sesebuah kementerian kepada pelbagai tekanan daripada komuniti media sosial yang kini menjadi medium paling berpengaruh. -BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA