Tingkat Penembusan Perkhidmatan Jalur Lebar


KUCHING: Kerajaan negeri akan memfokus kepada usaha meningkatkan peratusan penembusan perkhidmatan jalur lebar di kawasan luar bandar dalam tempoh lima tahun akan datang.

Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar James Masing berkata ia antara lapan fokus utama yang disenaraikan untuk ditangani di bawah Jawatakuasa Kabinet Transformasi Luar Bandar (CRT) yang dipengerusikan beliau.

Beliau berkata penyambungan perkhidmatan jalur lebar di kawasan luar bandar Sarawak perlu diperkasakan kerana tanpanya pembangunan lain yang disenaraikan dalam lapan fokus utama itu tidak akan berjaya.

Ketika ini katanya penembusan perkhidmatan jalur lebar di kawasan luar bandar Sarawak hanya 56 peratus bagi isi rumah dan 70 peratus untuk perkhidmatan telefon selular.

“Selepas mesyuarat dan mendengar taklimat daripada semua jabatan terlibat hari ini (semalam) kita menyedari penyediaan khidmat jalur lebar di luar bandar sangat penting.

“Membina jalan raya, menyambung bekalan air dan elektrik dan lain-lain sahaja tidak mencukupi, sekarang isu penting ialah menyediaan perkhidmatan internet.

“Pembangunan fizikal yang dilakukan di luar bandar mesti disertai dengan penyediaan perkhidmatan jalur lebar terbaik,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pertama CTR di sebuah hotel di sini semalam.

Masing yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan berkata tujuh lagi fokus utama CRT ialah Sekolah Luar Bandar, Perkhidmatan Kesihatan Luar Bandar, Jalan Luar Bandar, Bekalan Air Luar Bandar, Bekalan Elektrik Luar Bandar, Projek Pengurangan Banjir Luar Bandar dan Komuniti Terjejas oleh Projek Hidro.

Katanya bagi memastikan lapan fokus itu dapat dikendalikan, lapan jawatakuasa ditubuhkan yang dipengerusikan menteri atau menteri muda.

Jawatankuasa Kecil Jalan Luar Bandar dipengerusikan oleh beliau sendiri manakala Bekalan Elektrik dan Air Luar Bandar (Datuk Dr Stephen Rundi Utom), Perkhidmatan Kesihatan Luar Bandar (Datuk Dr Sim Kui Hian), Pengurangan Banjir Luar Bandar (Datuk Dr Jerip Susil), Penyambungan Jalur Lebar (Dr Abdul Rahman Junaidi), Sekolah Luar Bandar (Datuk Roland Sagah Wee Inn), Komuniti Terjejas oleh Projek Hidro (Liwan Lagang) dan Penguatkuasaan Berkesan Alam Sekitar (Datu Len Talif Salleh).

Tambahnya jawatankuasa kecil itu akan bermesyuarat sebulan sekali dan hasil mesyuarat akan dirujuk kepada jawatankuasa induk, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri selaku sekretariat.

“Melalui mesyuarat ini kita tahu isu, cabaran dan langkah perlu diambil untuk mengatasinya. Kita akan berusaha sebaik mungkin kerana ini adalah janji kerajaan BN kepada rakyat pada Pilihan Raya Negeri lalu.

“Inilah masanya untuk kita bekerja lebih keras dan kurangkan politik kerana hasil dalam tempoh lima tahun nanti akan menjadi asas kukuh kepada pembangunan kawasan luar bandar yang seterusnya,” jelas beliau.

Tambahnya antara cabaran dihadapi ialah dana kerana kebanyakan peruntukan pembangunan adalah daripada kerajaan persekutuan.

Mengakui untuk mendapatkan dana daripada kerajaan persekutuan bukan suatu yang mudah, Masing berkata kerajaan negeri akan berusaha sedaya upaya untuk mendapatkannya bagi menambah peruntukan disediakan kerajaan negeri. - Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA