Tindakan Tegas Terhadap Anggota Polis Terbabit Dadah - KPN


JOHOR BAHRU: Polis telah memulakan tindakannya dalam usaha menghapuskan penglibatan anggota pasukannya terhadap penyalahgunaan dadah.

Setakat ini, sekurang-kurangnya 11 anggota polis termasuk tiga pegawai kanan, telah ditahan dalam dua operasi utama di Johor kerana disyaki terbabit dalam penyalahgunaan dadah.

Tiga pegawai yang berusia 20-an dan 40-an itu ditahan selepas mereka diuji positif dadah.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, ketika dihubungi mengesahkan penangkapan itu dan memberi amaran kepada pasukannya supaya tidak sesekali mengambil dadah.

"Kita tidak akan bertolak ansur dengan sebarang bentuk penyalahgunaan dadah di kalangan kakitangan polis," katanya kepada The Star di sini, Jumaat.

Dalam kes pertama, pegawai daripada pasukan khas Bukit Aman telah menyerbu sebuah kelab malam di Iskandar Puteri dan menahan lebih daripada 50 orang termasuk tujuh anggota polis Sabtu lalu.

Sumber berkata, mereka adalah kakitangan pelbagai jabatan, dari sekurang-kurangnya tiga daerah di Johor Baru.

Difahamkan semua daripada mereka didapati positif dadah dalam serbuan itu yang dilakukan pada awal pagi.

Polis turut menahan dua lelaki dan menemui beberapa jenis dadah termasuk Eramin 5, Ecstasy dan Ketamin.

Polis turut menahan lebih daripada 30 pelayan pelanggan termasuk dari Vietnam, Indonesia dan China.

Dalam serbuan kedua, polis menyerbu sebuah kuarters polis dan menahan lima anggota di Kluang pada Ahad.

Sumber berkata anggota yang ditahan sedang 'khayal' dalam serbuan itu yang dibuat pada sebelah petang.

Sekurang-kurangnya empat daripada mereka ditahan kerana positif dadah manakala seorang lagi, yang didapati negatif dadah telah dibebaskan.

Semua anggota polis yang ditangkap, dengan beberapa orang daripadanya telah mala berkhidmat kini berdepan tindakan disiplin.

Laporan sebelum ini menyebut bahawa lebih daripada 38 pegawai kanan dan 301 kakitangan di seluruh negara telah disiasat kerana kesalahan berkaitan dadah, jenayah, rasuah dan salah laku.

Sejak tahun 2013, lebih daripada 257 kakitangan telah disabitkan dengan kesalahan.

Apabila ditahan, anggota polis akan digantung tugas sementara menunggu siasatan.

Siasatan jenayah akan dijalankan bersama siasatan lembaga disiplin. Jika terdapat bukti yang cukup, anggota polis akan didakwa di mahkamah dan dipecat daripada pasukan.

Bagi perlanggaran kecil, termasuk tidak mengikuti prosedur operasi standard, anggota polis yang didapati bersalah boleh dikenakan pelbagai tindakan, termasuk diturunkan pangkat, dipotong gaji atau skala gaji dikurangkan.- mStar

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA