Tikus Buat Huru-Hara

Foto Utusan Borneo

SIBU: Seorang lelaki melecur apabila dapur gas di rumahnya meletup dipercayai berpunca daripada tali hos bocor akibat digigit tikus di rumah panjang Dius Kawin, Batu 17, Jalan KJD, Jikang, Julau, Bintangor pagi semalam.

Kejadian kira-kira jam 7 pagi itu menyebabkan mangsa yang dikenali Gripin Rama, 39, melecur 30 peratus di kedua-dua belah kaki, tangan dan muka.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor Nicholas Belulin berkata tiada operasi pemadaman api dilakukan kerana api dipadamkan oleh penghuni-penghuni rumah panjang terbabit.

“Hanya bahagian dapur berukuran empat meter persegi salah satu daripada enam buah pintu rumah panjang tersebut sahaja terjejas,” jelasnya.

Katanya impak letupan mengakibatkan sebahagian daripada dinding asbestos di tingkat atas pecah manakala pintu peti sejuk terletak di dapur tercabut.

Pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden tersebut daripada orang awam pada jam 7.06 pagi.

Seramai enam anggota BBP Bintangor diketuai PB Herman Basa menggunakan sebuah jentera Atego tiba di lokasi sejauh 42km kira-kira 7.50 pagi.

Agensi bantuan Persatuan Bomba Sukarelawan (PBS) Julau turut hadir di lokasi kejadian dan operasi tamat jam 8.40 pagi.

Mangsa digegaskan ahli-ahli keluarganya ke Klinik Kesihatan Julau untuk mendapatkan rawatan namun kemudian dirujuk ke Hospital Sibu untuk rawatan lanjut.

Nicholas memberitahu, punca letupan dipercayai berlaku akibat saluran hos dapur gas memasak didapati telah bocor.

“Kami menjumpai hos dapur gas dengan kesan gigitan tikus di lokasi kejadian yang dipercayai menyebabkan berlaku kebocoran gas,” katanya.

Bagaimanapun, pasukan Forensik Bomba dari Zon Empat akan menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca sebenar insiden letupan tersebut. -UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA