Tiga Sesak Nafas Asid Tumpah Dalam Makmal



KUALA LUMPUR: Tiga penuntut sebuah universiti swasta di Jalan Menara Gading, Taman Connaught, Cheras di sini, sesak nafas akibat terhidu bau asid hidroklorik yang tumpah dalam makmal universiti berkenaan, pagi tadi.

Bomba yang menerima laporan kejadian itu pada jam 10.42 pagi, menghantar 19 anggota bersama enam jentera termasuk Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) dan tiga Unit Anggota Penyelamat dan Paramedik (EMRS) diketuai Komander Operasi, Penolong Kanan Penguasa Bomba Johari Mohammad Lazim.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, berkata sebanyak 2.5 liter bahan kimia berkenaan tumpah ke lantai makmal selepas seorang pelajar perempuan terlanggar botol yang mengandungi cecair itu dan pecah.

"Tiga mangsa yang sesak nafas terdiri daripada seorang pelajar lelaki dan dua pelajar perempuan, seorang daripada mereka cedera pada kaki kanan kerana terkena percikan bahan kimia berkenaan.

"Semua mangsa dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) dan keadaan mereka dilaporkan stabil," katanya.

Anggota pasukan HAZMAT membuat kerja-kerja pengasingan serta pembersihan menggunakan pasir selama hampir empat jam untuk memastikan kesan tumpahan itu dibersihkan sepenuhnya.

"Pada jam 2.10 petang, pasukan HAZMAT melaporkan keadaan kualiti udara di situ sudah berada di tahap selamat dengan tahap keasidan pada pH6.

"Operasi pembersihan tamat pada jam 2.35 petang dan kejadian ini dimaklumkan kepada Jabatan Alam Sekitar untuk tindakan selanjutnya," kata jurucakap berkenaan. -BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA