Tiga Pendaki Sesat Di Gunung Korbu Ditemui


IPOH: Dua lelaki dan seorang wanita yang dilaporkan sesat ketika mendaki Gunung Korbu, dekat sini, berjaya ditemui kira-kira jam 6 pagi tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.26 pagi memaklumkan kejadian itu.

Katanya, sebaik tiba di kaki gunung berkenaan, pihaknya dimaklumkan terdapat tiga orang iaitu dua lelaki masing-masing berusia 25 dan 32 tahun serta seorang wanita berusia 24 tahun tersesat.

"Mereka dipercayai terkeluar dari laluan pendaki dianggarkan sehingga satu kilometer dan terpisah daripada kumpulan pendaki seramai 16 orang," katanya di sini, hari ini.

Berikutan itu, katanya, pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Ipoh dianggotai sembilan orang diketuai Jamaluddin Md Amin melakukan operasi mencari dan menyelamat sebelum berjaya menemui mereka berhampiran anak sungai kira-kira tiga jam kemudian.

Katanya, ketika ditemui, mangsa wanita didapati mengalami masalah kekejangan otot.

Beliau berkata, semua mangsa kemudian dibawa keluar oleh anggota bomba dan menyerahkan mereka kepada pegawai perubatan yang berada di tempat kejadian sebelum operasi ditamatkan pada jam 8.48 pagi tadi. -BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA