Tidak Timbul Isu Sekolah Kebangsaan Islamik - Mahdzir

Foto Berita Harian

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan menjelaskan isu sama ada sesebuah sekolah kebangsaan (SK) itu islamik atau tidak islamik tidak pernah timbul.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata sistem yang dilaksanakan di SK adalah berlandaskan dasar yang sudah ditetapkan seperti yang termaktub dalam Akta Pendidikan 1996.

"Apa yang penting, murid dari semua latar belakang dan kaum memperoleh akses pembelajaran seperti yang sudah disediakan oleh kerajaan termasuk pembelajaran bahasa ibunda seperti bahasa Cina dan Tamil di SK," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mahdzir berkata demikian mengulas laporan sebuah portal berita, semalam yang mendakwa beliau mengisytiharkan kerajaan tidak akan membenarkan SK menjadi "terlalu islamik".

Berhubung soalan yang dikemukakan wartawan mengenai isu itu iaitu sama ada SK kini menjadi semakin islamik, Mahdzir menjelaskan, beliau membuat kenyataan yang membawa maksud SK tidak akan menjadi medan untuk penyebaran fahaman Islam yang melampau seperti IS dan ajaran sesat lain yang menjurus kepada keganasan.

"Ibu bapa diberikan kelonggaran untuk anak masing-masing memilih mana-mana aliran pendidikan yang ditawarkan di bawah Kementerian Pendidikan seperti aliran agama, vernakular dan SK," katanya. -BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA