Tiada Halangan Bagi Tiga ADUN Kembali Sertai UPP


KUCHING: Tidak ada halangan bagi tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk kembali menyertai Parti Rakyat Bersatu (UPP) semula meskipun sebelum ini mereka memohon masuk Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata keputusan diambil oleh ADUN Opar Ranum Mina, ADUN Bengoh Datuk Dr Jerip Susil dan ADUN Engkilili Dr Johnical Rayong Ngipa adalah urusan mereka.

“Mereka telah memilih UPP. Itu urusan mereka,” katanya ketika diminta mengulas mengenai keputusan tiga ADUN yang menang pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-11 sebagai calon langsung Barisan Nasional (BN).

Adenan menambah: “Apa yang penting ialah mereka dipilih (menang) untuk menyokong BN. Itu yang lebih penting.”

Pada hujung minggu lepas, Ranum, Dr Rayong dan Dr Jerip mengumumkan mereka akan kembali menyertai parti asal mereka.

Menurut mereka, keputusan itu diambil selepas mengambil kira keputusan pemimpin peringkat cawangan parti yang sebulat suara mahu mereka kembali kepada UPP. - UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA