Tiada Dokumen, Pembinaan Jambatan Ketiga Ditutup


KUALA LUMPUR - Kementerian Kerja Raya menganggap isu pembinaan jambatan Pulau Pinang ketiga dan tiga jalan iringan seperti yang dicadangkan kerajaan Pulau Pinang sudah ditutup berikutan ketiadaan dokumen sokongan mengenainya yang dikemukakan kepada kementerian itu.

Dalam satu kenyataan, Menteri berkenaan, Datuk Seri Fadillah Yusof, juga menegaskan bahawa beliau tidak ingin terlibat dengan politik kenyataan akhbar 'ping-pong' yang tidak diperlukan berhubung projek yang dicadangkan itu.

"Saya adalah Menteri Kerja Raya dan saya berada di sini untuk bekerja demi manfaat semua, termasuk Pulau Pinang - bukan untuk melibatkan diri dengan politik kenyataan akhbar ping-pong.

"Saya anggap perkara ini sudah ditutup, tetapi akan melihatnya kembali sebaik sahaja Kerajaan Pulau Pinang sedia bekerjasama dan laporan yang diperlukan dikemukakan tahun depan seperti yang dijanjikan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng," katanya.

Dalam kenyataan bertarikh 4 Ogos, Fadillah mengingatkan Lim bahawa sebarang projek infrastruktur besar untuk pengangkutan, khususnya yang merentasi laut, tidak boleh wujud secara bersendirian dan akan mempunyai kesan terhadap aliran trafik di sekitar jalan sedia ada atau jalan yang dirancang serta laluan laut.

Beliau berkata kementerian itu akan dianggap mengabaikan tanggungjawabnya sekiranya ia meluluskan sesuatu projek yang boleh memberi kesan negatif kepada lalu lintas di kawasan sekitar atau menimbulkan kesulitan di pelabuhan berdekatan.

Menurut beliau, kementerian itu juga ingin melihat laporan kajian kemungkinan dan reka bentuk yang memerlukan kerajaan Pulau Pinang menanggung kos hingga RM305 juta.

"Adalah tidak logik sekiranya kementerian saya meluluskan sesuatu projek infrastruktur besar melibatkan kos berbilion ringit hanya berdasarkan surat setebal dua halaman, tanpa menerima sebarang dokumen sokongan, unjuran penjajaran laluan dan aliran trafik," katanya.

Fadillah berkata kerajaan Pulau Pinang mengesahkan bahawa kajian kemungkinan dan reka bentuk terperinci mengenai tiga jalan iringan berkenaan telah 100 peratus siap, manakala laporan mengenai terowong pula sudah 83 peratus siap.

"Kementerian kami mengemukakan permintaan sebanyak lima kali dalam tempoh tiga bulan lepas agar mereka mengemukakan dokumen itu bagi menyokong permohonan mereka, tetapi mereka berulang kali enggan berbuat demikian," katanya.

Fadillah juga berkata kementerian itu menganggap permohonan untuk membina jambatan Pulau Pinang ketiga tidak lagi bersifat mendesak berikutan kelewatan dalam memulakan pembinaannya.

"YB Lim memberitahu akhbar minggu lepas bahawa beliau telah mengemukakan laporan itu, tapi sekarang, apa yang mengejutkan ialah beliau berkata beliau hanya boleh mengemukakannya menjelang awal tahun depan," kata Fadillah.

BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA