Tiada Bukti MH370 Sengaja Terhempas, Kata Tiong Lai


PUTRAJAYA: Laluan penerbangan yang dipetakan Kapten Zaharie Ahmad Shah ke Lautan Hindi hanya merupakan salah satu daripada "ribuan" laluan simulator penerbangan di rumahnya, kata Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Menteri Pengangkutan berkata, simulator itu bagaimanapun tidak mengesahkan bahawa juruterbang pesawat Malaysia Airlines MH370 dengan sengaja menyebabkan ia terhempas ke laut.

"Sehingga kini, teori ini masih dalam siasatan. Masih tiada bukti yang mengesahkan Kapten Zaharie dengan sengaja menerbangkan pesawat ke Lautan Hindi.

"Ya, beliau mempunyai simulator bagi laluan penerbangan itu, tetapi ia merupakan salah satu daripada ribuan simulasi ke banyak tempat di dunia.

"Dengan hanya berdasarkan perkara itu, kita tidak boleh mengesahkan beliau yang melakukannya," kata Tiong Lai pada sidang media di sini, Khamis.

Tiong Lai meminta semua pihak untuk tidak membuat spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.

"Tidak wajar membuat spekulasi atau teori-teori tidak berasas yang tidak membantu siasatan.

"Jika anda ada bukti, mohon serahkannya kepada pasukan penyiasat," katanya.

Baru-baru ini, laporan media asing menunjukkan Kapten Zaharie telah merancang Boeing 777 pada saat akhir, bercanggah dengan pendirian rasmi bahawa pesawat itu tidak dikawal semasa terhempas. - mStar

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA