Tegur Najib dengan fakta, kata Musa Hassan

Bekas ketua polis negara Tan Sri Musa Hassan berkata jika mahu menegur Perdana Menteri Datuk Seri Najib berhubung kemelut 1MDB, pihak berkenaan perlu ada fakta.

Beliau berkata apa yang perlu dilakukan ialah memberi peluang kepada polis dan pihak berkuasa menjalankan siasatan ke atas 1MDB, sebelum bertindak.

“Biar siasatan dijalankan dulu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar masih siasat lagi. Tunggu siasatan dulu. Kita tidak tahu hujung pangkal, kita tak boleh desak siapa, tunggu siasatanlah.

“Kena ada fakta kalau nak desak (Najib). Kalau tak ada fakta macam mana nak desak,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata demikian ketika mengulas saranan Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub kepada beberapa bekas pemegang jawatan tertinggi negara supaya tampil menyuarakan pandangan mereka terhadap kemelut 1MDB.

Salahuddin mencadangkan bekas ketua turus tentera, bekas ketua polis negara, bekas peguam negara, bekas ketua setiausaha negara, hakim serta kakitangan tinggi kerajaan supaya menggunakan status mereka dalam masyarakat menegur perdana menteri.

“Alangkah baiknya kedudukan mereka yang mulia dan tinggi di sisi masyarakat, dimanfaatkan pula untuk menjadi pembela kepada perjuangan rakyat dan negara khususnya dalam menegur pentadbiran Datuk Seri Najib Razak yang hari ini sangat kritikal ekoran skandal 1MDB,” kata Salahuddin dalam kenyataannya.

Sementara itu, Musa berkata semua pihak perlu menghormati siasatan yang sedang dilakukan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ).

“Itu siasatan yang dijalankan Amerika Syarikat. Itu hak dua untuk siasat,” katanya.

Sementara itu, bekas peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail enggan mengulas saranan Salahudin itu.

“Saya enggan ulas,” katanya ketika dihubungi.

Pada 20 Julai, Jabatan Kehakiman AS memfailkan saman mahu menyita aset berkait 1MDB berjumlah AS$1 bilion, atas dakwaan kecurian wang dan korupsi.

Siasatan beberapa agensi Malaysia ke atas syarikat milik negara itu bagaimanapun ditamatkan selepas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali memutuskan tiada salah laku melibatkan 1MDB dalam penerimaan wang RM2.6 bilion oleh Najib pada 2013. - FMT

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA