Taufan Kuat Dijangka Tiba Di Jepun


TOKYO: Sekurang-kurangnya 400 penerbangan dibatalkan akibat hujan lebat dan angin kencang kesan taufan kuat yang dijangka sedang menuju ke kota ini.

Menurut Agensi Kaji Cuaca Jepun, taufan Mindulle dijangka membadai kota itu sekitar tengah hari, bergerak ke atas dari ibu kota Jepun ke rantau Tohoku utara.

Membawa angin kencang berkelajuan sehingga 180 kilometer sejam, ribut itu menuju ke utara pada kelajuan 25 kilometer sejam dari pulau Miyake pada awal pagi, kata agensi itu.

Setakat ini tiada laporan kecederaan atau kerosakan besar ke atas Miyake, sebuah pulau dengan hampir 2,600 penduduk terkenal sebagai pusat memancing, pelancongan dan pertanian.

“Di Tokyo … sila berhati-hati dengan tanah runtuh, banjir di kawasan rendah, sungai melimpah, angin ribut dan ombak besar,” kata agensi cuaca.

Taufan berkenaan menyebabkan syarikat penerbangan di seluruh negara membatalkan sejumlah 387 penerbangan, kebanyakannya ke dan dari lapangan terbang Haneda Tokyo, kata penyiar kebangsaan NHK.

Japan Airlines berkata ia membatalkan 145 penerbangan domestik sehingga tengah hari, yang membabitkan 26,910 pelanggan, manakala All Nippon Airways membatalkan 96 penerbangan domestik, yang menjejaskan 21,300 penumpang. – AFP

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA