Tarikh 22 Julai 1963 Antara Fakta Dan Dusta



Kerajaan Negeri Sarawak telah mengumumkan 22 Julai setiap tahun sebagai cuti umum bagi mengingati perjuangan rakyat Sarawak yang berusaha membebaskan Sarawak daripada penjajahan British. Namun tarikh berkenaan telah dimanipulasi pihak tertentu dengan pendapat yang berbeza dan menganggap Sarawak telah merdeka pada tarikh berkenaan.

Pakar sejarah Datu Sanib Said telah menghurai dalam sebuah buku bertajuk "22 Julai 1963 Dalam Sejarah Sarawak Antara Fakta Dan Dusta" membentang isi kandungan apa sebenarnya tarikh berkenaan yang telah di mengikut pendapat yang berbeza-beza. Ada pihak yang menganggap bahawa Sarawak sebuah negara dan merdeka pada 22 Julai 1963.



Dalam petikan buku yang ditulis oleh Datu Sanib, Idea penubuhan Malaysia telah direalisasikan oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj melalui penubuhan gagasan Malaysia yang melibatkan negeri-negeri tanah Melayu dan negeri-negeri British Borneo, iaitu Sarawak, Brunei dan Sabah pada 27 Mei 1961 yang dipanggil gagasan Melayu Raya ketika itu. Ternyata Sarawak, Brunei dan Sabah pada waktu itu telah diikhtiraf oleh British sebagai negeri-negeri British Borneo dan bukan negara.

Sejak itu perbincangan demi perbincangan diteruskan dengan mengambil kira persetujuan rakyat untuk menubuhkan gagasan Malaysia. Pada 3 Februari 1962 Suruhanjaya Cobbold ditubuhkan bagi memantapkan lagi persetujuan rakyat Sabah dan Sarawak yang telah mendengar pendapat rakyat Sarawak yang berbilang kaum terdiri daripada 36 pusat.


Pada 4 Januari 1962 Dewan Undangan Negeri bersetuju dengan penubuhan Malaysia setelah mengambil inisiatif kertas putih dimana ketika itu ancaman komunis semakin kritikal dan gesaan untuk mempercepatkan penubuhan Malaysia akibat penentangan Filipina dan Indonesia melalui agenda 'Ganyang Malaysia' antara penyebab Sarawak berkeras penubuhan Malaysia mesti dilaksanakan dengan cepat.

Pada 22 Julai 1963 Kerajaan British Borneo telah memberi kuasa kepada anak negeri Sarawak sendiri untuk mentadbir Kabinet Sarawak bagi memberi kuasa penuh membuat keputusan berkenaan hal-hal negeri Sarawak yang ketika itu Gabenor Sir Alexander Waddell masih memerintah Sarawak di bawah Kerajaan British Borneo. Sehinggalah Sir Alexander pada 15 September 1963 jam 12:30 petang beliau meninggalkan Astana dan menaiki kapal yang membawa beliau dan sejarah penjajahan pulang ke tempat asal buat selama-lamanya.


Pukul 4:00 petang tarikh 15 Sepetember 1963 Tun Abang Haji Openg telah memasuki Astana bagi mengambil alih jawatan Gabenor yang telah ditinggalkan oleh Waddell.

Pada keesokan harinya 16 September 1963 Tun Abang Haji Openg telah membaca watikah kemerdekaan Sarawak yang membentuk Malaysia berlangsung di Padang Merdeka Kuching disaksikan ribuan rakyat Sarawak, dan ketika itu dengan sah Stephen Kalong Ningkan sebagai Ketua Menteri Sarawak pertama dalam kemerdekaan Sarawak yang membentuk Malaysia.

Apa yang dipetik pakar sejarah dalam isi kandungan buku tersebut memberi gambaran bahawa Sarawak adalah sebuah negeri dalam penjajahan British Borneo, dan 22 Julai 1963 membentuk Kabinet Sarawak yang terdiri daripada anak watan Sarawak sebenarnya masih dalam pemerintahan British.

Sehinggalah  pada 16 September 1963 yang mana watikah kemerdekaan sebenar telah dibaca oleh Tun Abang Haji Openg mengesahkan Sarawak merdeka dengan menubuh sebuah negara bernama Malaysia bersama Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Singapura pada ketika itu.

Sejarah berkenaan telah ditulis oleh Datu Sanib Said dalam sebuah buku bertajuk 22 Julai 1963 Dalam Sejarah Sarawak Antara Fakta Dan Dusta. -Sarawakiana

(Ulasan ini adalah berdasarkan rujukan buku bertajuk "22 Julai 1963 Dalam Sejarah Sarawak Antara Fakta Dan Dusta" karangan tokoh sejarah terkenal Sarawak, Datu Sanib Said.)

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA