Taman Budaya Kuching, Pusat Riadah Warga Bandar Raya


Taman Budaya Kuching yang terletak ditengah-tengah bandar raya Kuching sering menjadi lokasi kegemaran masyarakat setempat sebagai lokasi riadah dan aktiviti berkumpulan kelab-kelab kesihatan.

Berkunjung ke Taman Budaya seawal pukul 7 pagi, dapat kita menyaksikan penduduk setempat melakukan pelbagai aktiviti riadah. Ada yang berlari, ada yang berjalan, ada yang melakukan senaman regangan malah dapat kita lihat sekumpulan ahli kelab taichi bersenam.

Kawasan persekitaran seluas 32 ekar dipenuhi dengan tumbuhan hijau dan pokok-pokok hiasan dan kolam air lengkap dengan air terjun mini dan air pancut, menjadikan suasananya lebih tenang, damai dan menyegarkan.

Trek larian atau pejalan kaki disediakan dalam pelbagai pilihan kombinasi, jarak dan laluan. Daripada laluan rata, hinggalah laluan berbukit, terpulang kepada pengguna untuk menentukan kombinasinya. Banyak pilihan bergantung kepada kesesuaian dan kehendak pengguna.


Turut disediakan kawasan senaman yang boleh digunakan untuk senaman asas. Begitu juga alatan permainan untuk kanak-kanak. Segala yang disediakan cukup bagi memastikan kawasan taman digunakan sepenuhnya untuk aktiviti riadah dan pelbagai lagi aktiviti lain.

Kawasan Taman Budaya juga sering dijadikan lokasi penggambaran bagi peminat dunia fotografi. Kehijauan floranya yang dihiasi kolam dan air pancut menjadikannya diminati golongan jurugambar.

Tidak lupa, bagi penggemar gambar makro, kawasan Taman Budaya turut memiliki kawasan tanaman herba kecil. Ramai penggemar makro datang mengambil gambar pokok-pokok herba disana.

Suasana pada waktu petang pun tidak kurang hebatnya. Bezanya dengan suasana pagi ialah pada waktu petang, kawasan Taman Budaya akan dipenuhi oleh golongan muda.

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA