Tahap Keselamatan Negara Kini Masih Terkawal

Foto Utusan Borneo

SRI AMAN: Tahap keselamatan negara kini masih terkawal meskipun berlaku insiden pengeboman di pusat hiburan serta pembunuhan ahli politik dan samseng sejak kebelakangan ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Masir Kujat berkata kes terbabit masih dianggap kecil berbanding lain-lain negara menghadapi ancaman keganasan seperti penggunaan pengebom berani mati.

Menurutnya, kementerian menerusi Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sememangnya tidak dapat menduga berlakunya jenayah seperti ini terutamanya melibatkan pengunaan senjata api haram.

“Bagaimanapun, kawalan sempadan terus diperketat bagi mengekang penyeludupan senjata api ke negara ini.

“Seterusnya melancar aplikasi baharu telefon pintar pada 16 Ogos ini bagi memudahkan orang awam melaporkan jenayah di kawasan mereka secara terus kepada polis,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Kesyukuran Kemenangan Barisan Nasional (BN) Peringkat Parlimen Sri Aman di Dewan Suarah di sini kelmarin.

Masir berkata, kerajaan perlu membina lebih banyak Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) termasuk Pos Imigresen sepanjang kawasan sempadan negeri ini.

“Usaha bagi membina Kompleks ICQ dan Pos Imigresen adalah amat penting bagi mengekang jenayah rentas sempadan terutama melibatkan aktiviti penyeludupan.

“Sempadan Sarawak-Kalimantan Barat, Indonesia agak poros. Justeru itu, beberapa kawasan sempadan amat memerlukan penubuhan ICQ dan Pos Imigresen seperti di Batu Lintang, Lachau, Kapit, Hulu Rejang dan Baram,” katanya.

Beliau berkata, menjadi harapannya agar perkara ini dapat diberi perhatian dalam belanjawan kerajaan tahun ini demi memperkukuh aktiviti sempadan oleh agensi penguat kuasa.

Turut hadir Menteri Muda Pembangunan Ekonomi Luar Bandar dan Perladangan Datuk Francis Harden Hollis, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin Snowdan Lawan, ADUN Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang, pegawai-pegawai kerajaan serta ketua-ketua kaum sekitar Sri Aman. -UB.

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA