Tabung Haji Sangkal Beri Visa Haji Kepada Neelofa


KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) menyangkal dakwaan pihaknya bahawa memberi kelulusan kepada pengacara dan pelakon Neelofa untuk menunaikan haji selepas sebulan aktres itu membuat pendaftaran haji di agensi berkenaan.

TH dalam kenyataan pada Rabu berkata, pihaknya sedia maklum mengenai rayuan artis berkenaan dan telah mempertimbangkan rayuan tersebut mengikut garis panduan sedia ada dan tiada kelulusan diberikan kepada beliau bagi rayuan tersebut.

"Jika ada visa haji yang diperolehi oleh artis tersebut, ia adalah tidak melalui TH," kata kenyataan itu.

Menurut TH, pihak mereka sentiasa mengamalkan sistem pendaftaran terbuka dan semua rayuan untuk mengerjakan haji awal dari tarikh giliran yang ditentukan perlu melalui proses tapisan yang berperingkat serta mengikut kriteria yang telah ditetapkan.

Oleh itu, TH memohon agar isu itu tidak disensasikan, kerana ia boleh menimbulkan ketidakpuasan hati dalam kalangan pendeposit TH.

Media baru-baru ini melaporkan artis Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor, 27, akan menunaikan haji bersama ibu bapanya selepas sebulan mendaftar di TH.

Neelofa bakal mengerjakan haji pada 5 September depan bersama ibu dan bapanya. - BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA