Syarikat Import Rokok Didenda RM1,000


KLANG: Sebuah syarikat pengimport rokok didenda RM1,000 dan dilucutkan hak oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, kerana gagal mengisytihar 79,960 juta batang rokok berjumlah hampir RM8 juta.

Hakim Suzana Hussin menjatuhkan hukuman itu terhadap ACL Group Pte Ltd, yang diwakili pengarah syarikatnya, Ong Hin Lee, selepas tertuduh mengaku bersalah melakukan kesalahan itu.

Berdasarkan kertas pertuduhan, ACL Group didakwa gagal mengisytiharkan dalam tempoh satu bulan iaitu 7,996 'master case' rokok ke kawasan zon bebas yang bertentangan Peraturan 21(1)(a) Peraturan-Peraturan Zon Bebas 1991.

Syarikat itu dituduh melakukan kesalahan itu di kawasan pemeriksaan Klang Container Terminal, Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang di sini, pada 17 Februari lalu.

Pendakwaan dilakukan mengikut Peraturan 33 Peraturan-Peraturan Zon Bebas 1991, yang boleh dihukum penjara enam bulan atau denda atau kedua-duanya dan dilucutkan hak terhadap barang berkenaan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kastam Diraja Malaysia, Muhammad Sobirin Mohd Seman, manakala syarikat berkenaan tidak diwakili peguam. -BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA