SUKMA Ke-18 Antara Yang Terbaik Setakat Ini - Zahid

Foto : SUKMA Sarawak 2016 Page

Kuching : Sukan Malaysia ke-18 (SUKMA VXIII) yang dianjurkan kerajaan negeri Sarawak pada tahun ini adalah antara yang paling terbaik malah berjalan lancar tanpa sebarang masalah besar menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang hadir pada majlis penutupan SUKMA VXIII malam tadi berkata, majlis tersebut memainkan peranan penting dalam meningkatkan perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum selain dengan pencapaian enam rekod kebangsaan dan 57 rekod baharu berjaya dicipta.

"Saya mengucapkan tahniah kepada 8,000 peserta dan pegawai mewakili 15 kontinjen untuk kerjasama yang dilakukan. Jelas sekali dari majlis perasmian penutupan, ini adalah Sukma yang terbaik sebagai platform untuk meningkatkan perpaduan Malaysia," katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Rasmi SUKMA Ke-18 Sarawak 2016 di Stadium Sarawak, Petra Jaya malam tadi.

Beliau juga turut menegaskan pembangunan atlet muda negara tidak harus dilakukan secara bermusim tetapi berterusan bagi memberi peluang kepada atlet muda negara terus bertanding sehingga ke peringkat antarabangsa dan dapat mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

“Aspek pembangunan atlet muda negara tidak harus dilakukan secara bermusim tetapi kita mesti melakukannya dengan berteraskan latihan jangka panjang yang berstruktur dan komprehensif.

“Maka itu, saya tidak mahu venue-venue sukan yang hebat ini terbiar… ia mesti digunakan untuk menganjurkan pesta sukan sama ada di peringkat kebangsaan atau antarabangsa,” katanya.

Turut hadir Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem dan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin, Menteri Belia, Sukan dan Solidariti Sarawak Dato Sri Michael Manyin Jawong dan Pengerusi Jawatankuasa Pengelola SUKMA 2016 Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani.

Majlis penutupan tersebut juga turut menyaksikan penyerahan bendera Sukma kepada Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dari Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem sebagai negeri yang akan menjadi tuan rumah edisi ke-19 perlawanan dalam 2018.

Sarawak menjadi tuan rumah Sukma buat kali kedua selepas 26 tahun. Negeri ini merupakan juara keseluruhan pada tahun 1990, 1992 dan 1994. - Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA