SSM Hargai Staf Perjuang RUU Sejak 2003 Sampai Lulus




PUTRAJAYA – Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mengadakan majlis khas sempena kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Syarikat dan Skim Kepentingan di Hotel Pullman, Putrajaya di sini, hari ini.


Penambahbaikan RUU yang diusahakan SSM sejak 2003 dapat menyokong dan memperbaiki penarafan antarabangsa bagi Malaysia dalam Laporan ‘Doing Business’ dan ‘Report on the Observance of Standards and Codes’ (ROSC) yang disediakan oleh Bank Dunia sekaligus membaiki kedudukan negara sebagai ekonomi paling mesra perniagaan.

Selain itu, RUU Skim Kepentingan yang turut diluluskan Parlimen pada April tahun ini turut membawa pembaharuan yang dapat mengawalselia keperluan dan tatacara penjanaan atau pengumpulan dana secara alternatif selain penawaran saham melalui kerangka pasaran modal sedia ada atau pinjaman dari institusi kewangan.

Susulan kejayaan kelulusan kedua-dua RUU, kumpulan Jawatankuasa Semakan Semula Undang-Undang Korporat (Corporate Law Reform Committe – CLRC) serta Jawatankuasa Konsultif Isu-Isu Perakaunan (Account Issues Consultative Committee) yang telah memberikan sumbangan tenaga, idea dan komitmen di sepanjang proses penggubalan RUU Syarikat dan Skim Kepentingan telah diraikan sebagai tanda penghargaan.

“Sesungguhnya pencapaian peringkat terakhir ini adalah atas usaha anda semua yang tidak pernah kenal penat lelah dalam menyumbangkan komitmen sejak 2003 sehinggalah kedua-dua RUU diluluskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada April tahun ini,” ujar Menteri KPDNKK Dato’ Seri Hamzah Zainudin dalam ucapannya.

Turut berlangsung pada majlis hari ini, Memorandum Perjanjian Kerjasama (MoU) Strategik dengan Bank Rakyat bagi memeterai kemudahan pembiayaan perumahan kepada warga kerja SSM.

MoU ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Dato’ Zahrah Abd Wahab Fenner dan Pengarah Urusan Bank Rakyat, Dato’ Mustafha Abd Razak dengan disaksikan Hamzah, Timbalan Menteri KPDNKK, Dato’ Henry Sum Agong dan Ketua Setiausaha KPDNKK merangkap Pengerusi SSM, Dato’ Sri Jamil Hj Salleh. – MYNEWSHUB.CC

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA