Sri Dewi Sulistina Digesa Buat Aduan Rasmi Di Konsulat Jeneral Malaysia Di Medan


JAKARTA: Kedutaan Besar Malaysia di sini hari ini meminta seorang rakyat Indonesia, Sri Dewi Sulistina, supaya membuat aduan rasmi mengenai dakwaan kononnya beliau dianiayai pegawai Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) dan dilarang memasuki Malaysia tanpa sebab.

Duta Besar Malaysia di Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata dakwaan wanita itu kononnya beliau ditahan tanpa sebarang alasan adalah sesuatu yang serius dan pihak kedutaan berharap beliau membuat aduan rasmi bagi membolehkan kes itu disiasat.

Katanya pihak kedutaan telah menghubungi Putrajaya bagi mendapatkan maklumat tetapi pihak berkuasa mengesahkan setakat ini tiada sebarang aduan diterima mengenai kes itu.

"Kita tidak dapat menyiasat jika tiada aduan dan wanita itu hanya membuat dakwaan dalam akhbar sahaja," katanya kepada Bernama di sini.

Zahrain berkata memandangkan wanita itu adalah dari Medan, beliau boleh menghubungi Konsulat Jeneral Malaysia di Medan untuk membuat aduan rasmi dan pihak kedutaan memberi jaminan kes itu akan disiasat sebaik menerima aduannya.

Sri Dewi Sulistina, 28, dalam sidang medianya semalam mendakwa diberi layanan buruk ketika hendak berkunjung ke Malaysia dan ditahan oleh pihak Imigresen sebelum dideportasi tanpa sebarang alasan.

Beliau berkata dalam kejadian pada 17 Ogos itu, beliau yang berlepas dari Lapangan Terbang Kualanamu, Medan, memasuki Malaysia melalui klia2 pada pukul 12 tengah malam waktu Malaysia.

Katanya ketika pemeriksaan Imigresen, beliau diminta masuk ke pejabat Imigresen klia2 dan seorang pegawai Imigresen bertanyakan tujuan memasuki Malaysia kerana pasportnya menunjukkan beliau sering masuk-keluar negara itu.

Setelah menyatakan beliau sekadar bercuti dan mahu bertemu temannya, wanita itu diarah supaya memberi keterangan di Pejabat Imigresen di Jalan Duta.

Katanya pihak Imigresen di Jalan Duta kemudiannya keliru dan menyatakan beliau tidak menghadapi sebarang masalah.

Sri Dewi Sulistina berkata setelah kembali ke pejabat Imigresen klia2, beliau kemudiannya ditahan dan dimasukkan ke dalam sel tahanan selama dua hari sebelum dihantar pulang ke Medan manakala pasportnya dicop tidak dibenarkan mendarat (Not To Land).- BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA