SPRM Turut Pantau

Foto Harian Metro
KOTA BHARU: Proses penapisan individu yang layak menunaikan haji oleh Lembaga Tabung Haji (TH) turut dipantau oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, langkah itu diambil untuk memastikan proses pemilihan jemaah haji dapat dijalankan dengan telus.

Katanya, tiada istilah pilih kasih atau kouta mana-mana pihak seperti yang didakwa di laman sosial.

"Tidak pernah berlaku kepada sesiapa yang diberikan giliran mereka bagi tahun tertentu, tiba-tiba (nama) mereka dikeluarkan, kerana saya tengok dalam dua tiga hari ini terdapat banyak viral seolah-olah ia berlaku.

"Tiada istilah kouta menteri, timbalan menteri ke, kouta sesiapa sahaja kerana TH sentiasa memastikan segala proses dijalankan secara telus dan dipantau oleh SPRM," katanya dalam sidang media selepas Majlis Mengucapkan Selamat Jalan Kumpulan Pertama Jemaah Haji Kelantan di Kompleks Islam Jubli Perak di sini, malam tadi.

Hadir sama, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dan Pengerusi TH, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Seramai 150 jemaah dari negeri ini dilepaskan untuk menaiki penerbangan dari Kota Bharu ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum ke Madinah jam 4.05 pagi tadi. -Harian Metro

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA