SPRM kesan taktik baru sindiket curi kayu balak

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesan taktik baharu sindiket mencuri kayu balak dengan menebang dan mengeluarkan pokok dari hutan pada hari sama bagi mengelak dikesan pihakberkuasa.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM Datuk Mohamad Jamidan Abdullah berkata sindiket yang terlibat tidak lagi membina kem khusus sebagai pusat pengumpulan kayu sebaliknya bertindak menghantar balak yangdicuri terus ke kilang untuk diproses pada hari sama ia ditebang.

"Jika dahulu, mereka tebang dan kumpul setempat kayu balak yang dicuri. Jika sindiket dengar ada operasi dijalankan, mereka akan tanam kayu balak bagi mengelak ia dirampas oleh pihak berkuasa.

"Namun kini mereka menukar modus operandi dengan menebang dan mengeluarkan kayu balak pada hari yang sama sebelum dihantar ke kilang kayu untuk diproses," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutupan Seminar Intergriti Mengenai Penyahutanan Bagi Zon Timur (Kelantan, Terengganu dan Pahang) di Pasir Puteh semalam.

Seminar dua hari itu disertai kira-kira 150 peserta termasuk kalangan Orang Asli dan turut dihadiri Pengarah SPRM Kelantan Datuk Moh Samsuddin Yusof dan Pengarah The Center to Combat Corruption and Cronyism (C4), Cynthia Gabriel.

Mohamad Jamidan berkata sindiket berkenaan juga beroperasi dari negeri yang berbeza bagi mengelirukan pihak berkuasa mengesan kegiatan mereka.

"Sebagai contoh kayu balak curi yang ditebang di Bentong, Pahang akan terus dihantar ke kilang memproses kayu di Serdang, Selangor," katanya.

Katanya bagi menangani masalah tersebut, SPRM telah melatih sekumpulan pegawai sebagai 'pakar perhutanan' bagi mengesan kawasan hutan yang ditebang tanpa kebenaran daripada mana-mana kerajaan negeri.

"Perkara ini perlu dibendung kerana ia bukan sahaja menyebabkan kerajaan kehilangan hasil hutan terutama kayu balak, malah ia turut membawa kepada kecurian hasil bumi seperti emas dan bauksit," katanya. - Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA