SPRM Kenal Pasti Lagi 19 Individu


Kuala Lumpur : Seramai 19 individu kini sedang dan dikenal pasti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terbabit dalam kes tiga penjawat awam termasuk dua yang bergelar Datuk Seri dan Datuk yang ditahan di tiga negeri pada Isnin lalu.

Kesemua 19 individu terlibat terdiri daripada kira-kira tiga pemaju di Kuala Lumpur, 10 kontraktor di Melaka serta enam termasuk pemilik syarikat dan pegawai jabatan kerajaan di Kelantan.

Mereka yang telah dikenal pasti akan dipanggil bagi membantu siasatan sebelum beberapa tangkapan lagi dibuat berhubung kes rasuah, penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram itu.

“Kita juga sedang mengesan seorang kakitangan kepada seorang daripada suspek yang merupakan saksi penting kes ini.

“Kakitangan itu yang juga orang kanan suspek didapati telah menghilangkan diri sejak suspek diberkas SPRM,” kata sumber yang dipetik berkata dalam Utusan Malaysia pada Jumaat.

Isnin lalu, SPRM telah membekukan wang simpanan termasuk amanah saham bernilai RM1 juta hingga RM6 juta meliputi jumlah keseluruhannya mencecah RM13 juta berikutan penahanan tiga penjawat awam termasuk dua daripada mereka yang berpangkat Datuk Seri dan Datuk.

Kesemua mereka ditahan atas kesalahan menyalahgunakan kuasa, rasuah serta pengubahan wang haram di tiga negeri iaitu Kuala Lumpur, Melaka dan Kelantan.

Selain pembekuan akaun ter­sebut, turut disita ialah beberapa aset seperti kondominium mewah termasuk penthouse dan banglo selain kenderaan mewah jenis Maserati, BMW dan Audi yang dipercayai hasil kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram.

Turut ditemukan ialah wang tunai mencecah RM400,000 termasuk mata wang asing selain beberapa utas jam tangan mewah.

Tambah sumber, sehingga kini SPRM telah mengambil kete­rangan kira-kira 14 individu bagi membantu siasatan termasuk pemaju yang terlibat dalam projek yang diluluskan salah seorang suspek dan pemilik syarikat yang mendapat kontrak daripada seorang lagi suspek.

Sementara itu, Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan pihaknya telah mengambil kete­rangan beberapa saksi bagi mendapatkan maklumat berhubung kegiatan yang dilakukan tiga suspek terbabit.

“SPRM mengambil masa bagi melengkapkan kertas siasatan memandangkan bilangan saksi yang ramai dan keterangan yang diambil perlu diteliti sebelum proses selanjutnya,” jelasnya.

Ditanya menge­nai kewujudan pihak yang meng­hubungi SPRM untuk ‘beru­nding’ selepas amaran dan tang­kapan dibuat oleh badan agensi itu, Azam memberi­tahu, tiada pihak tampil berbuat demikian. - BNBBC

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA