Sokongan Masyarakat Bidayuh Jadi Bekalan Buat Pandelela Rinong


RIO – Sokongan padu komuniti Bidayuh di Sarawak menjadi bekalan buat ratu terjun negara Pandelela Rinong untuk bersaing dalam Sukan Olimpik Rio 2016 yang merupakan penampilan ketiganya dalam temasya sukan terbesar dunia itu.

Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik London 2012 dalam acara 10 meter platform itu berkata, masyarakat Bidayuh ibarat keluarga besar baginya kerana mereka tidak putus-putus memberikan semangat dan galakan untuk melihatnya memberikan persembahan terbaik.

“Saya adalah antara atlet yang telah membuatkan negara berbangga dan kerana itu mereka (masyarakat Bidayuh) berkongsi perasaan yang sama.

“Memandangkan kebanyakan masa saya dihabiskan di luar negara untuk mengikuti latihan, mereka memberikan sokongan melalui panggilan telefon dan mesej melalui media sosial,” katanya.

Pandelela yang berasal dari Bau, dekat Kuching akan bertanding dalam acara 10 meter platform dan 10 meter platform seirama dalam temasya Olimpik kali ini.

Dalam pada itu, Pandelela berkata dia sudah terbiasa dengan tekanan dalam penampilan kali ketiga di Olimpik terutama selepas merangkul gangsa di London 2012.

Katanya, hal ini kerana sebelum itu lagi dia sentiasa mengambil berat dan serius dalam semua pertandingan yang disertai.

“Saya juga lebih yakin dengan teknik terjunan saya sekarang berbanding pada 2012. Terdapat kemajuan dalam pelbagai peringkat yang menyebabkan saya lebih yakin dalam Olimpik kali ini.

“Saya mengekalkan tahap kesukaran terjunan tetapi teknik lain seperti terjahan ke dalam air telah meningkat berbanding dahulu,” katanya. - Utusan Malaysia

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA