Sokong Daesh, hukuman ditambah kepada 12 tahun


KUALA LUMPUR : Mahkamah Rayuan hari ini menambah tempoh hukuman penjara seorang tukang rumah yang mengaku memberi sokongan kepada kumpulan pengganas Daesh, daripada lima tahun kepada penjara 12 tahun.

Keputusan sebulat suara itu dibuat oleh panel tiga hakim bersidang diketuai oleh Datuk Ahmadi Asnawi selepas membenarkan rayuan pendakwa raya terhadap tempoh hukuman penjara lima tahun yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi terhadap Muhammad Kasyfullah Kasim, 38.

Beliau bersidang bersama Datuk Vernon Ong Lam Kiat dan Datuk Zamani A. Rahim.

Pada 3 Mei lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkan hukuman penjara lima tahun itu berkuatkuasa dari tarikh Muhammad Kasyfullah ditangkap pada 27 November 2014.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Kasyfullah, berasal dari Kedah didakwa memberi sokongan kepada perbuatan pengganas melibatkan penggunaan senjata api untuk melan­jutkan suatu perjuangan ideologi bagi mengugut orang awam di Syria.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan de­ngan cara memasuki Syria dengan menaiki pesawat dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang antara 28 Disember 2013 dan 7 April 2014.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 130J(1)(b) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 130J(1)(a) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara se­umur hidup atau maksimum 30 tahun atau denda dan harta juga boleh dirampas sekiranya telah diniatkan untuk melakukan kesalahan itu.

Muhammad Kasyfullah diwakili peguam Azizzul Shariman Mat Yusoff. - UTUSAN ONLINE

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA