Soal Jadi Ketua Pembangkang Tidak Ada Dalam Fikiran Saya - Muhyiddin


KUALA LUMPUR: Soal menjadi ketua pembangkang tidak wujud dalam fikiran Presiden Penaja Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin, ketika ini.

Sambil memperakui Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai ketua pembangkang, ujar Muhyiddin, tumpuannya adalah untuk mengukuhkan parti Bersatu.

"Parti ini pun belum lagi diluluskan. Jadi tumpuan utama bagi saya adalah penubuhan parti ini dan mendapat sokongan serta keahlian yang seramai mungkin. Kemudian, menubuhkan bahagian-bahagian di seluruh negara, membuat persiapan bagi menghadapi pilihan raya umum, dan mengadakan rundingan dengan parti-parti yang sehaluan.

"Ini bermakna banyak urusan yang lebih utama yang akan saya beri tumpuan pada peringkat awal ini. Jadi soalan menjadi ketua pembangkang pada peringkat ini tidak ada dalam pemikiran saya," katanya pada sidang media Jawatankuasa Penaja Parti Bersatu di sini, pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan akhbar yang memetik Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar sebagai berkata, bahawa Muhyiddin boleh dilantik menjadi ketua pembangkang sekiranya Bersatu komited dengan agenda reformasi.

Namun terbaharu, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan, PKR tiada keperluan melantik Muhyiddin sebagai ketua pembangkang baharu sambil berkata Pakatan Harapan tidak pernah membincangkan perkara itu.

Beliau berkata, PKR tetap dengan pendirian mengekalkan presiden parti itu, iaitu Datuk Seri Dr Wan Azizah sebagai ketua pembangkang dalam menerajui Pakatan Harapan.

-Astro Awani

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA