SKMM Wajar Kaji Kemudaratan 'Pokemon Go' - Dr Juanda Jaya


KUCHING: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sewajarnya mengkaji tentang kemudaratan permainan atau kesan negatif lain permainan popular ketika ini 'Pokemon Go'.

Bekas Mufti Perlis, Datuk Dr Juanda Jaya berkata, beliau kurang cenderung kepada pengharaman sesuatu yang masih bersifat kemungkinan kerana hukum hendaklah atas perkara hampir pasti.

Malah menurutnya, alasan pengharaman permainan popular itu kerana faktor kelalaian akibat bermain yang sukar diukur kerana banyak aplikasi permainan telefon mudah alih memang membawa kepada kelaian sekiranya tiada disiplin dalam menjaga masa.

"Pada saya eloklah beri nasihat dan teguran berterusan yang membina daripada menyatakan hukum tertentu, juga berikan alternatif yang lebih baik.

"Pihak yang memberi fatwa mungkin ada alasan mereka, tetapi untuk jatuh haram secara mutlak ia mungkin agak terlampau," katanya ketika dihubungi Sarawakiana hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng berkata, perkara baharu seperti itu boleh diberi pelbagai pandangan.

"Tambahan pula produk (aplikasi permainan) adalah bersifat barangan yang boleh jadi popular untuk beberapa ketika sebelum datang produk lain yang lebih menarik minat pelanggan.

"SKMM sewajarnya kaji tentang mudarat atau sebaliknya produk ini daripada dibenarkan berada dalam pasaran," ujarnya.

Selain itu jelasnya, pihak keselamatan juga perlu memberi nasihat tentang aspek keselamatan kerana ada antara individu yang bermainnya terlibat kemalangan selain menceroboh premis tertentu. -Sarawakiana.

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA