Sindiket Tipu Projek Didalangi 'Datuk Paduka' Dipatahkan


KUALA TERENGGANU: Polis melumpuhkan sindiket penipuan projek naik taraf jalan raya dengan mengaitkan Istana Terengganu didalangi seorang lelaki menyamar sebagai 'Datuk Paduka'.

Sindiket itu ditumpaskan apabila lima suspek berusia 30 hingga 60 tahun termasuk dalang utamanya ditahan dalam beberapa siri serbuan di sekitar bandar ini sejak 23 hingga 28 Julai lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, Superintendan Koh Ah Tiam, berkata kegiatan sindiket itu terbongkar apabila mereka menggunakan aplikasi WhatsApp sebagai medium menyebarkan tawaran projek kononnya bernilai RM442 juta berkenaan.

Katanya, sindiket turut meminta bayaran komitmen daripada syarikat kontraktor yang berminat berjumlah antara RM600,000 hingga RM1 juta. "Siasatan awal polis mendapati projek disebarkan ini masih di peringkat cadangan oleh kerajaan negeri kepada Kerajaan Persekutuan.

"Bagi meyakinkan syarikat kontraktor, dalang turut menunjukkan kad konon diperoleh daripada Istana Terengganu dan menyamar dengan membawa gelaran Datuk Paduka," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Ah Tiam berkata, kelima-lima suspek direman selamat empat hari untuk siasatan lanjut, namun sudah dibebaskan dengan jaminan polis. Kes disiasat mengikut Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan kerana cuba menipu. -BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA