Sharbini Suhaili CEO Sarawak Energy Mulai November

KUCHING, 16 Ogos (Bernama) -- Berkuatkuasa November tahun ini, Sharbini Suhaili, kini Naib Presiden Kumpulan Petronas bagi Kesihatan, Keselamatan, Sekuriti & Alam Sekitar (HSSE), akan menyandang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu Kumpulan Sarawak Energy.

Pengerusi Sarawak Energy Datuk Amar Hamed Sepawi dalam satu kenyataan syarikat itu di sini hari ini berkata Sharbini akan mengambil alih jawatan daripada Datuk Torstein Dale Sjotveit berikutan keputusan Torstein meninggalkan syarikat itu selepas kontraknya sekarang tamat pada akhir Oktober untuk pulang ke negaranya, Norway.

Hamed menyatakan dalam tempoh lebih tujuh tahun lepas, Torstein telah mengendalikan tempoh pertumbuhan besar dan menjadikan Sarawak Energy sebuah organisasi dinamik pada hari ini dengan memiliki visibiliti dan kredibiliti antarabangsa.

Hamed berkata Torstein menyertai syarikat milik penuh kerajaan itu pada 2009.

Dalam pada itu, Torstein disebut sebagai berkata: "Keputusan meninggalkan syarikat dibuat selepas pertimbangan lama dan berhati-hati dengan keluarga saya di Norway.

"Satu penghormatan buat saya memimpin 4,500 rakyat Sarawak di Sarawak Energy selama tujuh tahun lepas."

Sementara itu, Hamed berkata Sharbini rakyat Sarawak dari Kuching, mempunyai pengalaman luas dalam negeri dan seberang laut dalam industri minyak dan gas dengan syarikat Shell dan Petronas.

Beliau berkata Sharbini memulakan kerjaya dengan Royal Dutch Shell pada 1986 sebagai jurutera saluran paip, dan memegang pelbagai jawatan dalam syarikat itu di Malaysia dan seberang laut.

"Beliau pernah menjadi pengurus besar operasi huluan Shell Malaysia Sabah sebelum menyertai Petronas pada 2010 sebagai naib presiden International Production untuk cawangan huluan mereka," kata Hamed dalam satu kenyataan. -- BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA