Seramai 733 Bakal Jemaah Haji Mula Berangkat Isnin Depan


KUCHING: Seramai 733 bakal jemaah haji dari Sarawak akan mula berangkat ke Tanah Suci bermula 15 Ogos sekitar menerusi tiga penerbangan.

Penerbangan pertama  KT24Q akan bertolak pada 15 Ogos sekitar jam 11.45 malam manakala penerbangan kedua KT25Q dijadualkan berlepas 16 Ogos 11.45 malam dan penerbangan ketiga KT41Q pada 1 September jam 12.05 tengah malam.

Kesemua penerbangan akan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK).

Bakal jemaah haji Sarawak kali ini akan disertai dua pembimbing jemaah haji Majlis Islam Sarawak (MIS) iaitu Ustaz Wan Nazarul Wan Abdul Latip dan Ustaz Hazimin Shakir Said.

Yang Dipertua MIS Datu Misnu Taha menjelaskan, sesi pemilihan pembimbing ibadah haji bermula Oktober tahun lepas.

"MIS menghantar bersama borang permohonan kepada agensi-agensi yang berkenaan. Seterusnya mereka akan menduduki ujian kelayakan bertulis, hanya mereka yang lulus layak dipanggil untuk temuduga," katanya.

Beliau sebelum itu menghadiri Majlis Al-Wida Pembimbing Ibadat Haji MIS (PIHMIS) dan turut menyampaikan pakaian seragam petugas. -Sarawakiana


















No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA