Seramai 39 Jemaah P200 Batang Sadong Terima Sumbangan


SIMUNJAN: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hajah Nancy Shukri menyampaikan sumbangan kepada 39 jemaah haji dari kawasan Parlimen P.200 Batang Sadong di sini sebentar tadi.

Difahamkan seramai 12 jemaah daripada 39 jemaah yang akan menunaikan Haji merupakan jemaah daripada Program Khas Haji Perdana Menteri yang ditaja Yayasan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Menurut Nancy, jumlah keseluruhan jemaah seramai 1,100 orang terdiri daripada imam, Ketua Kampung dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang ditaja yayasan berkenaan di seluruh Malaysia untuk tahun ini.

“Ini menunjukkan cara Perdana Menteri membalas dan menghargai jasa serta bakti pemimpin-pemimpin di peringkat akar umbi dengan menaja mereka mengerjakan ibadah Haji,” ujarnya.

Nancy berkata, haruslah kita bersyukur mempunyai pemimpin yang sentiasa memikirkan kepentingan rakyat dengan menyediakan pelbagai kemudahan dan bantuan.

“Adalah penting bagi para jemaah Haji untuk bertemu dan berkenalan sesama jemaah pada majlis seumpama ini sebelum berlepas ke Tanah Suci kerana apabila berada di sana nanti, mudah untuk mendapat bantuan dan pertolongan dari kalangan kita,” jelasnya

Beliau berharap agar semua jemaah diberi kekuatan dan semangat tinggi kerana di situlah kita akan menempuh pelbagai ujian. – Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA