Seorang lagi suspek 'Highway Group' ditahan


KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lagi suspek dipercayai terbabit dalam skim pelaburan cepat kaya 'Highway Group', dalam serbuan di sebuah kondominium di Sri Hartamas, awal pagi tadi.


Guru lelaki berusia 46 tahun yang berasal dari Kelantan itu ditahan pada jam 1 pagi oleh sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), hasil maklumat dan risikan.

Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani, berkata suspek yang berperanan sebagai ahli lembaga pengarah dalam syarikat itu dipercayai sedang membuat persiapan untuk lari ke luar negara, menyorok di dalam sebuah bilik di kondominium berkenaan ketika tangkapan dilakukan.

"Operasi terhadap kegiatan kumpulan ini dimulakan sejak lima bulan lalu dan kita sudah menahan 15 individu yang ada kaitan dengan aktiviti yang dijalankan mereka.

"Justeru, dengan tertangkapnya seorang lagi suspek awal pagi tadi, ia menjadikan jumlah yang ditahan setakat ini 16 orang," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, tangkapan itu dilakukan mengikut Seksyen 3(1) Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.

Katanya, operasi diteruskan bagi mengesan 15 lagi individu yang terbabit dengan penipuan itu yang mana identiti mereka sudah dikenal pasti.

Bulan lalu, polis menahan 15 individu, termasuk dua lelaki bergelar Datuk Seri dan Datuk yang juga dalang skim pelaburan haram itu dalam beberapa siri serbuan di Kuala Lumpur, Selangor, Melaka, Pahang, Kelantan dan Pulau Pinang.

Dipercayai, suspek yang mempunyai latar belakang dalam bidang pendidikan itu menggunakan status mereka sebagai tarikan bagi menarik minat mangsa untuk melabur dengan menyasarkan kumpulan pendidik dan kakitangan kerajaan, termasuk orang kenamaan sebagai mangsa.

Hasil siasatan, kumpulan terbabit dipercayai memperdaya kira-kira 500,000 pelabur di seluruh negara, termasuk Brunei, dengan keuntungan mencecah RM50 juta.

Sementara itu, kejayaan JSJK turut dikongsi Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi akaun Twitter rasminya, pagi ini.

"Syabas JSJK @PDRMsia bongkar skim cepat kaya di KL dan Kelantan. Tkap 16 org yg telah perdaya 50k pelabur dgn pelaburan RM50juta #GoPDRMGo," katanya.-BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA