Semangat Nasionalis Penghulu Imban

Penghulu Imban Medan

Tanggal 25 Februari 1972 berlakunya tragedi serangan komunis di Rumah Panjang Balang Alau Nanga Pakoh Ulu Oya menyaksikan gugurnya seorang nasionalis demi menjaga keselamatan anak buahnya.

Beliau ialah Penghulu Imban Medan yang mempunyai sikap nasionalis sanggup berkorban demi menjaga keselamatan anak buah rumah panjangnya.

Peristiwa berlaku di Tuai Rumah Balang Ulu Oya di mana Penghulu Imban telah dibunuh kejam dan melalui cerita Ustaz Fadlullah Abdullah beliau turut menjadi saksi kepada kejadian walaupun tidak melihat bagaimana Penghulu Imban dibunuh.

Ustaz Fadlullah Abdullah

Beliau ketika itu berada di asrama sekolah St Mathews Nanga Sekuau Ulu Oya ketika kejadian dan berada berhampiran dengan rumah panjang tersebut.

Kedengaran bunyi tembakan dari arah rumah panjang tersebut manakala pihak komunis berada di sekolah berkenaan kata Fadlullah.

Selepas bunyi tembakan tersebut berhenti, pihak komunis telah melukis di dinding sekolah bagaimana Penghulu Imban dibunuh dan bendera Sarawak dan Malaysia diturunkan dan dikibarkan bendera komunis China di sekolah tersebut katanya ketika ditemubual Sarawakiana.

Fadlullah berkata selepas komunis meninggalkan tempat tersebut, Tuai Rumah Balang dan anak buahnya telah mengusung mayat Penghulu Imban yang sekadar dibungkus dengan tikar bagi mempercepatkan proses mengubur.

Sebelum pembunuhan tersebut, Penghulu Imban membuat laporan Polis di Sibu setelah mendengar aduan Tuai Rumah Ambik Jelanggai dan Sebindang apabila terdapat pihak komunis bersembunyi di Ulu Pakoh setelah bertempur di Kanowit. Berdasarkan laporan tersebut pasukan mata gelap berjaya menangkap seorang komunis.

Penghulu Imban bersama cucu-cucunya

Pada malam 25 Februari 1972 komunis mula menyerang Rumah Panjang tersebut. Penghulu Imban telah bertahan berjuang dan akhirnya komunis berjaya menarik Penghulu Imban keluar ke ruai. Pihak komunis beberapa kali menembak dan tidak berjaya kerana difahamkan Penghulu Imban seorang yang kebal.

Pihak komunis menghentak kepala Penghulu Imban dengan belakang senapang sehingga pengsan. Kesempatan tersebut komunis menarik tangkal yang ada ditubuh dan membunuh dengan kejam. Setelah pihak komunis meninggalkan Rumah Panjang, penduduk mula membungkus mayat Penghulu Imban dengan tikar dan diusung untuk disemadikan pada 26 Februari 1972.

Begitulah semangat perjuangan Penghulu Imban yang sanggup menjaga keselamatan anak buahnya daripada pihak komunis sehingga nyawa beliau senidiri tergadai. Semangat Nasionalis yang ada pada Penghulu Imban tidak ternilai demi keselamatan anak buah dan negaranya.-Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA