Semangat Juang Peng Soon Cukup Tinggi



GEORGETOWN: Bekas jurulatih Chan Peng Soon percaya beregu negara mampu mempamerkan aksi terbaik di pentas akhir badminton acara beregu campuran, hari ini.

Lee Wei Eng, 48, yang juga guru di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sum Sum, di sini berkata, sebagai individu terawal yang menggilap bakat Peng Soon, beliau yakin anak didiknya itu mempunyai semangat juang tinggi dan tidak mudah putus asa.

Peng Soon dan gandingannya, Goh Liu Ying, akan menentang beregu Indonesia, Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir, malam ini.

Beregu negara yang berada di ranking ke-11 dunia mencipta kejutan apabila menumpaskan beregu ranking keenam dunia dari China, Xu Chen-Ma Jin, 21-11, 21-19 di pentas separuh akhir.


"Saya mengenali Peng Soon sebagai atlet yang mempunyai semangat juang tinggi. Malah, bakatya digilap sejak di sekolah rendah lagi, termasuk menjuarai pertandingan badminton peringkat Majlis Sukan Sekolah Pulau Pinang (MSSPP) Zon Air Itam ketika berusia 10 tahun," katanya.

Wei Eng berkata, semua warga SJKC Sum Sum bangga dengan pencapaian Peng Soon dan kejayaan itu akan menjadi pendorong kepada murid sekolah berkenaan untuk mengikut jejak langkahnya. -BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA