Semakan Semula Hukuman Penceroboh Lahad Datu - Peguam Negara

Foto Berita Harian

KUANTAN: Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali mengesahkan pihaknya sudah mengemukakan rayuan semakan semula hukuman dijatuhkan kepada sembilan daripada 14 individu yang terbabit dalam pencerobohan Lahad Datu, Sabah, tiga tahun lalu.

Beliau berkata, rayuan itu dikemukakan sehari selepas keputusan dibuat Hakim Mahkamah Tinggi, Stephen Chung Hian Guan pada prosiding di Penjara Pusat Kota Kinabalu, Sabah, 26 Julai lalu.

"Kita sudah kemukakan rayuan bagi semakan semula hukuman terhadap semua tertuduh dalam kes berkenaan sehari selepas (keputusan) dibuat. "Ini kerana hukuman berkenaan dilihat tidak mencukupi memandangkan kesalahan dilakukan semua tertuduh sangat besar... iaitu mengikut Seksyen 130 KA Kanun Keseksaan kerana menjadi ahli kumpulan pengganas dan Seksyen 121 Kanun Keseksaan kerana melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

"Kita mahu mereka ini, terutamanya ketua kumpulan berkenaan dikenakan hukuman setimpal... rayuan adalah untuk mereka ini dikenakan hukuman mati," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Perasmian Persidangan Pendakwaan Tahun 2016, di sini, pagi tadi.

Turut hadir, Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Dzulkifli Ahmad.

Sembilan warga Filipina yang didakwa mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan kerana melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong dalam kes pencerobohan Lahad Datu pada 2013, dijatuhi hukuman penjara sepanjang hayat.

Sembilan tertuduh itu ialah Atik Hussin Abu Bakar, 45; Basad H Manuel, 41; Ismail Yasin, 76; Virgilio Nemar Patulada, 56; Salib Akhmad Emali, 63; Al Wazir Osman, 61; Tani Lahad Dahi, 63; Julham Rashid, 69, dan Datu Amirbahar Hushin Kiram, 53. Atik, Basad, Ismail dan Virgilio turut dihukum penjara 13 tahun mengikut Seksyen 130 KA Kanun Keseksaan kerana menganggotai kumpulan pengganas, manakala Salib, Al Wazir, Tani, Julham dan Datu Amirbahar dihukum 18 tahun penjara mengikut seksyen sama.

Hakim Mahkamah Tinggi, Stephen Chung Hian Guan yang menjatuhkan hukuman itu dalam prosiding di Penjara Pusat Kota Kinabalu, Sabah pada 26 Julai lalu dan mengarahkan semua tertuduh menjalani kedua-dua hukuman serentak, bermula dari tarikh ditangkap.

Sementara itu, tiga rakyat Filipina iaitu Aiman Radie, 19; Lin Mad Salleh, 58; dan Holland Kalbi, 50, yang hanya dituduh mengikut Seksyen 130 KA turut dijatuhi hukuman penjara 13 tahun, manakala seorang lagi iaitu Timhar Hadir, 39, dan penduduk tempatan, Abdul Hadi Mawan, 52, masing-masing dipenjara 15 tahun mengikut seksyen sama.

Satu-satunya tertuduh wanita, Norhaida Ibnahi, 49, warga Filipina yang didakwa mengikut Seksyen 130 KA Kanun Keseksaan kerana melindungi pengganas, dipenjara 10 tahun.

Rakyat tempatan, Pablo Alie, 65, yang didakwa mengikut Seksyen 130 G (c) kerana menghasut, menggalakkan atau mencari harta untuk kegunaan pengganas dihukum penjara 15 tahun.

Seorang lagi rakyat tempatan, Mohd Ali Ahmad, 40, yang didakwa mengikut Seksyen 130 J (1)(a) kerana memberi sokongan kepada kumpulan pengganas, turut dihukum penjara 15 tahun.

Semua hukuman dijalankan bermula dari tarikh tertuduh ditangkap.

Secara keseluruhan, 18 tertuduh, masing-masing 15 warga Filipina dan tiga penduduk tempatan daripada 30 tertuduh sebelum ini didapati bersalah, termasuk yang mengaku bersalah, manakala 12 dibebaskan.

Seorang daripada tertuduh warga Filipina yang didapati bersalah mengikut Seksyen 130 KA Kanun Keseksaan, iaitu Habil Suhaili, 68, bagaimanapun tidak direkodkan keputusannya kerana meninggal dunia akibat asma pada 23 April lalu. -BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA