Selepas Malaysia, Hotel Terbesar Di Dunia Dibina Di Mekah



JEDDAH : Sebuah hotel yang akan menjadi yang terbesar di dunia kini dalam pembinaan berhampiran bandar suci Makkah, Arab Saudi.

Hotel itu, Abraj Kudai, akan memiliki 10,000 bilik, 70 restoran, 12 menara dan empat pad helikopter.

Pembinaan hotel itu dibiayai oleh Kementerian Kewangan Arab Saudi dan kos membinanya dikatakan mencecah hampir RM14 bilion.

Dibina di kawasan padang pasir seluas 4.5 juta meter persegi, Abraj Kudai akan mempunyai menara setinggi 45 tingkat.

Ia akan dibuka kepada orang awam. Bagaimanapun, lima tingkat akan dikhususkan kepada keluarga diraja Saudi jika mereka mahu menginap di situ.

Di pekarangan hotel itu akan terdapat sebuah stesen bas, pusat beli-belah, restoran, gerai makanan, pusat persidangan dan tempat letak kereta.

Di bawah kubah besar dua daripada menara itu akan menempatkan sebuah dewan dan pusat konvensyen.

Sepuluh daripada menara berkenaan akan menyediakan layanan empat bintang sementara dua lagi lima bintang, khusus untuk pelanggan eksklusif.

Ketika ini, hotel terbesar di dunia berdasarkan jumlah bilik ialah First World Hotel di Genting Highlands, Malaysia, yang mempunyai 7,351 kamar, diikuti MGM Grand di Las Vegas, Amerika Syarikat dengan 6,198 bilik.

Abraj Kudai terletak hanya dua kilometer dari Makkah, bandar suci yang menjadi tumpuan umat Islam untuk menunaikan ibarah umrah dan haji.

Selain bakal menjadi hotel terbesar di dunia berdasarkan jumlah bilik, Abraj Kudai boleh berbangga kerana akan memiliki kubah terbesar di dunia.

Ia dijangka dibuka secara rasmi pada 2017. Bagaimanapun, pembinaannya mungkin terjejas kerana masalah ekonomi yang dihadapi Arab Saudi ketika ini. - Agensi

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA