Selepas 27 Tahun, Mayat Marcos Bakal Dikebumi


MANILA: Presiden Filipina, Rodrigo Duterte akan membenarkan pengebumian pemerintah diktator Filipina, Ferdinand Marcos di Makam Pahlawan walaupun berdepan protes besar-besaran.

Duterte menyifatkan Marcos layak dikebumikan di tanah perkuburan khas kerana khidmatnya sebagai bekas presiden dan anggota tentera, mengetepikan hakikat dia seorang pemimpin yang mengamalkan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

“Saya akan meluluskan permohonan untuk beliau dikebumikan di sana. Beliau layak dikebumikan di sana walaupun rakyat Filipina menentangnya,” katanya.

Mayat Marcos diawet dan dipelihara keluarganya selepas diktator itu meninggal dunia ketika dalam buangan pada 1989 ekoran pemberontakan 3 tahun sebelum itu.

Sejak itu, mereka menuntut supaya mayat Marcos dikebumikan dengan segala penghormatan di Makam Pahlawan.

Marcos dipilih menjadi Presiden pada 1965 dan mengisytiharkan undang-undang tentera pada 1972, membolehkan dia memerintah sebagai diktator.

Keluarga dan sekutu-sekutunya dikatakan menggunakan pengaruhnya dengan mengamalkan rasuah secara besar-besaran selain penyalahgunaan kuasa yang tidak terkawal.

Duterte yang mengaku pejuang anti-rasuah bagaimanapun mempertahankan keluarga Marcos dengan menyatakan bapanya pernah berkhidmat dalam kabinet Marcos dan dia sendiri mengundi Marcos sebelum ini.

Duterte juga menyatakan kemenangannya dalam pilihan raya pada 9 Mei yang lalu adalah atas sokongan keluarga Marcos yang masih kuat pengaruh mereka di utara Filipina.

Keluarga Marcos membuat kemunculan semula dalam arena politik sejak kematian bapa mereka di mana janda Marcos, Imelda menjadi wanita kongres mewakili kubu kuat wilayah utara keluarganya, manakala Ferdinand Marcos Jnr kalah tipis dalam pilihan raya sebagai Naib Presiden pada bulan Mei.

Rafaela David, jurucakap dari kumpulan aktivis Belia Akbayan berkata, pertubuhannya akan tetap memprotes pengebumian itu.

“Kami, rakyat Filipina tidak mengiktiraf Marcos sebagai wira. Kami berusaha mendapatkan lebih ramai orang yang mempunyai pengalaman dengan undang-undang tentera untuk berkongsi kisah-kisah mereka kepada seluruh rakyat… supaya lebih ramai orang yang akan mengenali kebenaran tentang warisan Marcos,” katanya. - AFP

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA