Selamat Maju Jaya Atlet Paralimpik Negara



Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan selamat maju jaya kepada 21 atlet negara yang menyertai Sukan Paralimpik dari 7 hingga 18 September ini di Rio de Janeiro, Brazil.

"Atlet2 #Paralympics kita berlepas ke #Rio2016 hari ini. Selamat maju jaya, ayuh #TeamMalaysia ! #MalaysiaBoleh," kata Perdana Menteri dalam catatan Facebook dan Twitter terbarunya hari ini.

Kontinjen paralimpik negara diiringi 19 jurulatih dan pegawai sukan, berlepas ke Brazil, hari ini.

Antara atlet yang berpeluang meraih pingat pada kejohanan sukan antarabangsa itu ialah atlet olahraga Abdul Latif Romly, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dan Muhammad Ziyad Zolkefli.

Malaysia mengambil bahagian dalam lapan daripada 23 sukan yang dipertandingkan iaitu olahraga, berbasikal, powerlifting, memanah, ping-pong, pelayaran, tenis kerusi roda dan renang.

Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin mengumumkan atlet paralimpik yang berjaya meraih pingat di Brazil, akan menerima elaun bulanan seumur hidup sebanyak RM5,000 bagi pingat emas, RM3,000 (perak) dan RM2,000 (gangsa). - Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA