Selamat Hari Jadi Nuan Nuan


KUALA LUMPUR: Usia Nuan Nuan, anak panda betina kepada pasangan panda gergasi Xing Xing dan Liang Liang dari China, genap setahun semalam.

Dengan berat badannya kini mencecah 31 kilogram (kg), tingkah laku Nuan Nuan yang semakin lincah dan aktif itu mencuit hati sesiapa sahaja yang mengunjungi Pusat Konservasi Panda Gergasi (GPCC), Zoo Negara.

Pengarah Zoologi dan Veterinar Zoo Negara, Dr. Mat Naim Ramli berkata, Nuan Nuan kini semakin dapat menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling dan aktif memanjat pokok-pokok buatan di sekitar kawasan pameran GPCC.

"Nuan Nuan membesar dengan sihat dan cepat. Dia masih menyusu dan sedang cuba makan apa yang dimakan oleh ibunya seperti pucuk buluh tetapi dalam kuantiti yang sedikit kerana giginya masih belum cukup kuat," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, kebiasaannya, anak panda boleh mengunyah makanan sendiri apabila mencecah usia setahun enam bulan.

"Selepas enam bulan, kami akan cuba untuk mengasingkan Nuan Nuan daripada ibunya, Liang Liang kerana mahu melatihnya untuk berdikari sebelum dihantar pulang ke China apabila usianya genap dua tahun," katanya.

Beliau berkata, pada masa ini, Nuan Nuan sangat manja dan bergantung kepada ibunya, Liang Liang lebih-lebih lagi ketika berada di kawasan pameran GPCC.

"Apabila kami melepaskannya ke kandang tanpa ibunya, dia akan mencari-cari ibunya dan akan berasa gelisah," katanya.

Nuan Nuan dilahirkan pada 18 Ogos 2015 di GPCC.

Anak panda betina itu akan dihantar kembali ke negara asalnya, China, selepas dua tahun manakala pasangan panda gergasi itu akan terus menetap di sini selama 10 tahun mengikut perjanjian antara kerajaan Malaysia dan China.

Sempena sambutan ulang tahun pertama kelahirannya, pihak GPCC turut menyediakan kek buah-buahan khas untuk Nuan Nuan dan ibunya, Liang Liang di kawasan pameran GPCC hari ini.

Sementara itu, Mat Naim berkata, pasangan panda gergasi, Xing Xing dan Liang Liang berada dalam keadaan sihat.

"Setakat ini berat badan mereka masih kekal dan tidak pernah menyusut iaitu Xing Xing pada 130kg manakala Liang Liang pula beratnya 109kg," katanya.

Pasangan panda gergasi itu yang sebelum ini dikenali dengan nama Fu Wa dan Feng Yi, tiba di Malaysia pada 21 Mei 2014 sebagai simbol jalinan hubungan diplomatik 40 tahun antara Kuala Lumpur dan Beijing.- Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA