Sedih Tetapi Gembira Dengan Pencapaian Atlet Sarawak - Karim



KUCHING: Disebalik kegagalan Sarawak muncul juara keseluruhan Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-18, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah yang merupakan ketua kontinjen tetap memuji semangat juang tinggi ditunjukkan atlet negeri ini dengan memberi tentangan sengit kepada kontinjen negeri lain.

Beliau berkata, Selangor selaku juara keseluruhan hanya mengesahkan kejuaraan pada hari terakhir temasya dwitahunan iu.

"Untuk mengatakan saya berpuas hati dengan kedudukan kedua adalah tidak betul kerana sasaran saya adalah untuk muncul juara keseluruhan.

"Saya sedih tetapi gembira dengan semangat ditunjukkan atlet Sarawak yang berjuang sehingga hari terakhir SUKMA iaitu pada 30 Julai untuk penentuan juara," katanya menerusi aplikasi Whatsapp hari ini.

Beliau yang juga Menteri Muda Belia dan Sukan menjelaskan, secara keseluruhan persembahan kontinjen Sarawak cukup baik.

"Dengan kekurangan kemudahan dan peluang untuk bersaing seperti apa yang terdapat di Semenanjung Malaysia, kita berjaya menunjukkan semangat juang tinggi.

"In Sha Allah dengan adanya kemudahan baharu yang dibina khas untuk SUKMA kali ini, masa depan sukan negeri Sarawak akan melonjak tinggi," ujarnya.

Menurutnya, perancangan pembangunan sukan yang rapi perlu diatur untuk tujuan pembangunan dan persiapan menghadapi SUKMA Ke-19 di Perak. -Sarawakiana.

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA