Sebanyak 90 Permit Kerja Kakitangan Petronas Dibekukan


Miri : Sebanyak 90 permohonan permit kerja bagi kakitangan Petronas luar dari Sarawak dibekukan oleh kerajaan negeri sehingga perbincangan kata sepakat antara kedua-dua pihak diselesaikan.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata permohonan tersebut dibeku dan digantung sejak moratorium dilaksanakan serta merta pada 7 Ogos yang lalu.

“Sejak kita melaksanakan moratorium sertamerta pada 7 Ogos lalu, sebanyak 90 permohonan permit kerja (Petronas) di Sarawak dibekukan dan digantung sehingga perbincangan diadakan.

“Apa yang ‘terhakis’ harus dikembalikan kepada Sarawak. Kita terus berjuang mendapatkan semula hak-hak yang sepatutnya milik Sarawak,"

Beliau berkata sedemikian pada Majlis Makan Malam Penghargaan Persekutuan Persatuan-Persatuan Orang Ulu Malaysia (FORUM) dan Pelantikan Jawatankuasa Bagi Sesi 2016-2017 di sini, pada malam Ahad lalu.

Memetik laporan UtusanBorneo, Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian dan Ekonomi Luar Bandar menegaskan apa yang dituntut Sarawak daripada Petronas adalah sesuatu yang wajar dan adil malah secara langsung termaktub dalam Akta Pembangunan Petroleum 1974 (1974 PDA) dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Ia bukan tugas mudah, apatah lagi kita berjuang menuntut hak-hak penurunan kuasa daripada Pusat (kepada kerajaan negeri) dan memperjuang isu keadilan dalam peluang pekerjaan dengan Petronas dan perniagaan dalam industri minyak dan gas perlu untuk membangunkan kawasan luar bandar negeri ini,” jelasnya. - Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA