Satu Lagi Kes Tembak di Setapak

KUALA LUMPUR: Seorang pekerja sebuah stesen minyak, nyaris maut selepas terkena satu dari tiga das tembakan yang dilepaskan seorang lelaki dalam kejadian samun di Jalan Genting Klang, di sini, petang tadi.

Bagaimanapun tindakan suspek untuk melarikan diri dapat dipatahkan selepas dia ditahan orang ramai dan pekerja stesen minyak berkenaan dalam kejadian kira-kira jam 5.50 petang itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa, berkata senjata yang digunakan suspek juga turut berjaya dirampas.

"Setakat ini mangsa seorang pekerja warga Bangladesh dikejarkan ke Hospital Colombia Asia, Setapak, untuk rawatan lanjut manakala suspek dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat kecederaan pada kakinya semasa ditangkap orang awam.

"Berikutan kes ini, kita tidak menolak bahawa suspek sama turut terbabit dalam beberapa siri kejadian samun senjata api yang berlaku sebelum ini," katanya ketika dihubungi BH sebentar tadi.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut sama ada suspek terbabit adalah ahli kumpulan kongsi gelap tertentu namun masih menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara itu.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 3, Akta Senjata Api, (Penalti Lebih Berat) 1971, yang membawa hukuman mati jika disabit kesalahan.

Kejadian samun bersenjata api ini berlaku dalam jarak 300 meter dari lokasi V Kandasamy atau Kanna 43, ditembak mati ketika sedang memandu di Jalan Danau Kota, pada 27 Julai lalu.- BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA