Sarawak Tidak Ingin Keluar Malaysia, Hanya Tuntut Hak Negeri

Foto : DrPuad Zarkashi

Kuching : Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar menegaskan kerajaan negeri tidak sependapat dengan agenda Sarawak for Sarawakians (S4S) yang memperjuangkan hak-hak negeri Sarawak dimana mereka menggesa Sarawak keluar daripada Malaysia.

Beliau menyifatkan perjuangan S4S bertentangan dengan matlamat utama kerajaan negeri yang hanya mahu menuntut pengagihan kuasa daripada kerajaan pusat kepada negeri bukannya keluar daripada persekutuan Malaysia.

“Kita tidak tenggelam timbul dalam persekutuan Malaysia…ini perlu difahami,” katanya pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2016 Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Sarawak di Wisma Haji Suaidi di sini, semalam.

Beliau turut menambah kerajaan negeri tidak pernah merancang untuk keluar daripada Malaysia seperti yang dikehendaki S4S.

Malah, Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem sendiri mengakui perundingan berhubung penurunan kuasa kepada kerajaan negeri mengambil masa yang lama sebelum ia benar-benar dipersetujui.

“Kedudukan kerajaan negeri adalah berbeza dengan S4S. Kerajaan negeri hanya menuntut pengagihan kuasa daripada kerajaan pusat kepada negeri, bukannya keluar daripada persekutuan Malaysia,” katanya.

Justeru itu, beliau menggesa pegawai JASA dan Jabatan Penerangan agar perlu memainkan peranan penting dalam menghadapi isu-isu berbangkit dalam menyalurkan maklumat yang berkesan kepada masyarakat.

“Sebagai agensi yang menjadi pertahanan barisan hadapan kepada kerajaan, pegawai JASA dan Penerangan mesti tahu dan pandai menghadapi sesuatu isu kerana ini akan digunakan semasa pilihan raya,” katanya. - Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA