Sarawak Perlukan Sumbangan Ahli Akademik Luar Dalam Bidang Kimia


KUCHING: Ahli akademik dan profesional bidang kimia diperlukan untuk membantu negeri ini dalam mengekalkan pembangunan sosio ekonomi, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.

Pada masa sama beliau berkata, sumbangan ahli akademik dan profesional juga dapat meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat.

"Kongsi kepakaran dan pengetahuan anda dengan pendidik tempatan serta saintis untuk menjadikan Sarawak sebagai negeri berpendapatan tinggi dengan peningkatan taraf hidup masyarakat," katanya merasmikan Persidangan ICCE 2016 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Kerajaan Tempatan Datuk Prof Dr Sim Khui Hian.

Adenan menjelaskan, negeri ini mempunyai banyak sumber semulajadi termasuk minyak dan gas selain balak, kelapa sawit, getah serta lada.

"Kita mempunyai hutan hujan tropika yang berusia jutaan tahun dengan kekayaan flora dan fauna, masih banyak daripadanya belum diterokai," ujarnya,

Beliau menambah, Sarawak juga amat bertuah kerana mempunyai kekayaan biologi yang merupakan aset utama.

"Kerajaan negeri menggubal Ordinan Pusat Bidoversiti Sarawak pada 1997 dan menubuhkan Pusat Biodiversiti Sarawak (SBC)," jelasnya -Sarawakiana.



No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA