Sarawak Perlukan Lebih Dana Untuk Projek Prasarana Luar Bandar - Rundi


SARIKEI : Sarawak memerlukan lebih banyak dana dan penurunan kuasa daripada kerajaan pusat untuk melaksanakan projek pembangunan prasarana di luar bandar, kata Menteri Kemudahan Awam negeri Datuk Dr Stephen Rundi Utom.

Beliau berkata ini bagi memastikan projek-projek pembangunan yang dirancang dapat dilaksanakan tanpa sebarang kelewatan.

"Sarawak bukan sahaja memerlukan dana yang lebih banyak daripada kerajaan pusat malah juga mahu diberikan kuasa untuk melaksanakan projek itu, kalau tidak banyak projek tidak ikut jadual dan tidak dapat dijalankan," katanya.

Masih banyak kawasan luar bandar di negeri ini yang memerlukan projek pembangunan, katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang peringkat negeri di sini semalam, bagi mewakili Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem.

Rundi berkata kerajaan negeri telah melancarkan program Skim Bekalan Elektrik Alternatif Sarawak (SARES) dan Bekalan Air Alternatif Sarawak (SAWAS) dalam usaha memperluaskan lagi liputan bekalan elektrik dan bekalan air paip di seluruh negeri.

Katanya, melalui SARES kerajaan pusat dan kerajaan negeri telah bersetuju untuk mengeluarkan dana berjumlah RM78 juta bagi membiayai projek itu dalam tahun ini.

"Setengah daripada peruntukan RM78 juta itu dikeluarkan oleh kerajaan pusat manakala setengah lagi oleh kerajaan negeri," katanya dan menurutnya liputan bekalan elektrik kawasan bandar di Sarawak adalah 100 peratus, pinggir bandar (70-80 peratus) manakala luar bandar (37 peratus).

"Di bawah SARES, tahun ini kita sudah mengenal pasti 50 tempat seluruh Sarawak yang telah dibuat pemetaan yang merangkumi lebih kurang 2,000 kampung untuk diberi perhatian secara berperingkat," katanya.

Di bawah SAWAS pula, Rundi berkata dana tidak kurang daripada RM741 juta diperlukan untuk menggantikan paip-paip lama yang bocor dan menurutnya kerajaan negeri juga akan membina loji rawatan air di kawasan luar bandar terutama yang mempunyai sekolah.

Beliau berkata sasaran untuk 95 peratus liputan bekalan elektrik dan air paip di Sarawak akan dapat dicapai dalam tempoh lima tahun lagi sekiranya lebih banyak dana diperuntukkan.

Bagi kemudahan jalur lebar dan telekomunikasi di Sarawak, beliau berkata sebanyak RM150 juta diperlukan untuk menyediakan talian fiber optik.

-- BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA