Sarawak negeri pertama menuju sektor awam kelas dunia

PUTRAJAYA: Sarawak, negeri pertama di negara ini yang mengambil inisiatif serta komitmen melaksanakan transformasi perkhidmatan sektor awamnya, yakin mampu memberi perkhidmatan berkelas dunia menjelang 2020.

Timbalan Setiausaha Negeri (Prestasi dan Penyampaian Perkhidmatan) Sarawak, Dr Sabariah Putit berkata Pelan Tindakan Perkhidmatan Awam Negeri 2010-2020 itu, yang kini masuk tahun keenam, berada pada landasan tepat untuk melonjakkan proses transformasi perkhidmatan awamnya.

Lapan bidang utama yang menjadi tumpuan adalah pengurusan perubahan budaya, pengurusan bakat sumber manusia, inovasi dan kreativiti, mengurus keperluan pelanggan, e-kerajaan, kecemerlangan pelaksanaan projek dan program, transformasi pengurusan kewangan dan kecemerlangan pentadbiran perkhidmatan perundangan Sarawak (SEALS).

“Sekarang ini kita berada pada pusingan akhir yang mana empat tahun terakhir ini merupakan tahun yang amat penting. Sekarang ini pun ramai orang mendapat motivasi untuk bekerjasama dengan kami kerana tertarik dengan budaya yang kita cuba terapkan…maknanya dah nampak perubahan positif.

“Kita mahu lapan bidang kritikal yang ditransformasikan ini merubah wajah dan imej perkhidmatan awam Sarawak menjadi lebih responsif, aktif dan memenuhi tuntutan serta aspirasi rakyat, seiring visi menjadi perkhidmatan awam bertaraf dunia menjelang 2020,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian selepas pembentangan projek inovasi itu yang turut tersenarai antara finalis pertandingan Anugerah Inovasi Antarabangsa Pertubuhan Komanwel bagi Pentadbiran Awam dan Pengurusan (Capam) 2016 untuk kategori “Inovasi Dalam Pengurusan Perkhidmatan Awam”, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Persidangan dwitahunan Capam bertemakan “Inovasi: Kepentingan Dalam Pentadbiran Awam” itu dijadual berlangsung pada 18 hingga 20 Ogos ini.

Sabariah berkata faktor geografi dan pelbagai cabaran di negeri itu tidak seharusnya menjadi alasan dalam memberikan perkhidmatan terbaik kerana adalah penting bagi Sarawak memampankan diri agar tidak ketinggalan dengan perkhidmatan sektor awam kerajaan pusat.

Katanya, usaha mentransformasikan sektor awam dengan bersungguh-sungguh bakal membuahkan hasil yang signifikan dan mapan dari segi perkhidmatan penyampaian, peningkatan produktiviti, kecekapan, dan perkembangan ekonomi.

Beliau berkata antara transformasi yang dilakukan termasuk memperkenalkan “Perkhidmatan Pelbagai Kaunter Bersepadu” yang menawarkan kemudahan kepada orang ramai untuk mendapat perkhidmatan kerajaan atau swasta di bawah satu kaunter.

Selain itu, katanya, ia turut memperkenalkan aplikasi mudah alih “Tali Khidmat” yang mana pengguna boleh membuat aduan atau memberi maklum balas terus kepada kerajaan negeri.

Inisiatif yang dijalankan di bawah pelan tindakan itu turut menyaksikan projek pembangunan untuk manfaat rakyat yang tergendala akibat pelbagai kekangan sebelum ini, dapat diteruskan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pernah melahirkan rasa minat untuk mengadaptasi kaedah yang diguna pakai oleh Sarawak dalam mentransformasi sektor awamnya bagi kerajaan pusat, katanya.- Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA