Sarawak Bakal Miliki Jabatan Taman Negara dan Hidupan Liar Sendiri


KUCHING: Sarawak akan mempunyai Jabatan Taman Negara dan Hidupan Liar sendiri menjelang Januari tahun depan.

Pengarah Jabatan Perhutanan negeri Sapuan Ahamad berkata cadangan struktur dan organisasi jabatan baharu itu sudah siap disediakan dan akan dikemukakan kepada kerajaan untuk mendapatkan kelulusan.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas merasmikan persidangan kawasan perlindungan peringkat negeri bertemakan ’Mengurus Melangkaui Sempadan’ selama tiga hari yang dihadiri kira-kira 150 penjawat awam, anggota pertubuhan swasta serta wakil masyarakat tempatan dan badan bukan

Sapuan berkata jabatan baharu itu akan diamanahkan tugas, antara lain, untuk mengurus dan memulihara hidupan liar, mewujudkan kawasan perlindungan penuh (TPA) baharu, membasmi kegiatan berburu secara haram dan menjual daging hidupan liar.

"Jabatan itu secara khusus akan bertanggungjawab menjaga orang utan dan mencegah ancaman buaya terhadap manusia akibat kekurangan makanan serta keadaan sungai yang makin tercemar. "Kami dalam proses mewujudkan 31 TPA baharu, dengan jumlah keluasan 451,819 hektar dan jabatan baharu ini boleh memainkan peranannya di situ," katanya.

Menurutnya, sekiranya rancangan itu dapat dicapai menjelang 2020, Sarawak akan mempunyai kawasan TPA seluas 1.3 juta hektar. Beliau berkata ketika ini, Jabatan Perhutanan tidak mampu melaksanakan sepenuhnya tugas tersebut kerana ia juga dibebani dengan tugas berkaitan lesen membalak, memerangi pembalakan haram dan aktiviti lain yang berkaitan.

"Sejak Julai 2016, kami mewartakan kawasan seluas 903,769 hektar yang terdiri daripada 43 taman negara (694,770 hektar), 14 kawasan simpanan semula jadi (2,539 hektar) dan enam santuari hidupan liar (206,460 hektar)," katanya.

Mengenai orang utan, Sapuan berkata beliau dengan sukacita ingin memaklumkan bahawa jumlah haiwan itu di Sarawak semakin meningkat, menurut laporan Wildlife Conservation Society.

"Kami mempunyai kira-kira 1,600 primat itu di Santuari Orang Utan Lanjak Entimau (habitat semula jadi seluas kirakira 200,000 hektar), di samping di Ulu Sebuyau dan Sedilu. "Ada NGO tertentu dari barat percaya bahawa primat itu terdapat di seluruh negeri ini, sedangkan itu tidak benar,"
katanya.

Beliau berkata Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem juga mahu agar mana-mana kawasan yang didapati mempunyai kelibat orang utan, turut diletakkan di bawah TPA. - Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA