Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri, Sri Aman Jadi Tuan rumah



SRI AMAN: Bandar Sri Aman akan menjadi tuan rumah penganjuran majlis sambutan Hari Kebangsaan 2016 Peringkat Negeri Sarawak dari 30 hingga 31 Ogos ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, tiga acara dirancang sempena program itu nanti.

Dua daripada tiga acara itu akan diadakan pada 30 Ogos iaitu Majlis Kesyukuran dan Pentarama.

“Majlis Kesyukuran akan diadakan di Masjid Bandar Sri Aman bermula jam 5.30 petang manakala Pentarama di kawasan Taman Tebingan Sungai Batang Lupar Sri Aman pada jam 8.30 malam hari yang sama,” katanya.

Uggah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban berkata demikian pada sidang media sebaik sahaja selesai mempengerusikan Mesyuarat Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sarawak 2016 di sini semalam.

Sementara itu kata Uggah, program kemuncak adalah acara Perhimpunan Merdeka yang akan diadakan di Padang Kementerian Pembangunan Sosial (KPS) Sri Aman bermula jam 7 pagi pada 31 Ogos.

“Sejumlah 53 kontinjen yang mengambil bahagian dalam upacara perarakan, perbarisan, kibaran bendera dan persembahan padang nanti. Dianggar 5,000 orang dijangka hadir bagi menyaksikan acara perhimpunan merdeka ini,” katanya.

Sehubungan itu beliau menggesa orang ramai mengibar Jalur Gemilang bagi menunjuk semangat patriotisme terhadap negara pada hari itu nanti.

Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem dijangka hadir bagi menyerikan Majlis Kesyukuran dan Perhimpunan Merdeka nanti.

Turut hadir pada mesyuarat itu adalah Menteri Muda Pembangunan Ekonomi Luar Bandar dan Perladangan Datuk Francis Harden Hollis, Menteri Muda Pertanian Malcom Mussen Lamoh, Pengarah Unit Protokol dan Perhubungan Awam Negeri, Jabatan Ketua Menteri Datuk Khir Busrah dan Residen Sri Aman Johnathan Lugoh. - UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA