Rumah Inti Formula Baharu Luar Bandar

Foto Utusan Borneo
MATU: Membangunkan rumah inti merupakan formula baharu yang dirancang kerajaan negeri untuk mengatasi masalah perumahan berlaku di kawasan luar bandar.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata formula ini sejajar dengan dasar Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem yang ingin membangunkan kawasan luar bandar.

“Kita di kementerian sedang mencari formula baharu di mana satu kajian akan dibuat dengan membangunkan rumah di kawasan pembesaran kampung dengan tambahan lot.

“Pada awalnya, kita akan bangunkan rumah inti terlebih dahulu, selepas itu baharulah ahli keluarga mereka boleh menambah tempat yang lain atau memperbaiki rumah yang kita bangunkan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen P.207 di Dewan Masyarakat Tian, Matu di sini, semalam.

Hadir sama Ahli Parlimen Igan Datuk Abdul Wahab Dolah, Menteri Muda Pembangunan Tenaga Kerja dan Latihan Datu Len Talif Salleh, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datu Misnu Taha, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro Shafiee Ahmad, ADUN Jamoreng Datuk Dr Juanda Jaya, ADUN Semop Abdullah Saidol, ADUN Tellian Yussibnosh Balo dan ADUN Balingian Yakub Arbi.

Jelasnya, ini bagi mengatasi masalah berulang yang dihadapi kerajaan negeri berkaitan isu perumahan di kawasan pembesaran kampung.

“Formula ini termasuk untuk kawasan Jamoreng, Matu, Daro dan semua kawasan luar bandar di negeri ini,” katanya.

Abang Johari yang juga Menteri Perumahan dan Urbanisasi merangkap Menteri Pelancongan menegaskan, peruntukan bagi formula ini akan ditanggung oleh kerajaan negeri dan sedikit daripada kerajaan pusat.

Sementara itu, Wahab berkata beliau berasa bangga dengan penduduk di kawasan Igan kerana menyambut dan meraikan Aidilfitri dengan penuh meriah tanpa mengira agama dan bangsa.

Katanya ini merupakan keunikan masyarakat negeri ini yang walaupun berbeza agama dan bangsa tetapi hidup dalam sebuah masyarakat majmuk yang bersatu dan boleh merayakan perayaan kaum lain secara bersama.

“Jangan biarkan perbezaan pendapat memisahkan kita, kita perlu pupuk nilai perpaduan serta silaturahim sesama masyarakat terutama dalam kalangan ahli politik.

“Contohnya pada hari ini, ada ramai wakil rakyat bersama kita yang menunjukkan betapa kukuhnya persefahaman masing-masing,” katanya.

Sementara itu, majlis yang merupakan acara tahunan bagi Parlimen Igan telah berlangsung meriah dengan menyaksikan ribuan penduduk sekitar kawasan Igan menghadiri majlis berkenaan.

Ia turut dimeriahkan dengan acara cabutan bertuah dengan ganjaran hadiah tiga motosikal di samping persembahan tarian dan nyanyian daripada artis tempatan. -UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA